Menjadi orang yang ke arah bebas hutang ni adalah makhluk yang paling membosankan, lagi-lagi dalam dunia hari ini.
Sebahagian besar daripada kita telah termakan dengan anasir pemasaran kewangan iaitu apabila anda layak dan mampu untuk buat kad kredit, pinjaman peribadi dan seterusnya berbelanja dengan ‘tenang’ tanpa perlu pening memikirkan gaji anda yang tak seberapa tu.
Oleh itu, apabila anda mendengar tentang orang yang sama sekali tidak mempunyai hutang, hidup dibawah kemampuan, dan mempunyai sejumlah wang tunai untuk kegunaan bila darurat nanti, anda mungkin menyangka mereka begitu. . . pelik.
Tetapi menjalani kehidupan tanpa hutang bukan hanya untuk kumpulan orang yang istimewa. Ini sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang dengan kerja keras dan beberapa ciri khas.
Lihat 10 sifat orang yang menjalani kehidupan tanpa hutang :
Ciri-ciri Orang Yang Hidup Tanpa Hutang
1. Mereka Berlawanan Arus
Spesis seperti mereka ini tahu bahawa hutang bukanlah alat untuk menolong mereka untuk hidup senang.
Momokan sesetengah orang yang mengatakan bahawa anda mesti mempunyai kad kredit untuk teruskan kehidupan, anda tidak boleh pergi ke pengajian tinggi tanpa pinjaman pelajaran, dan anda patut buat pinjaman kereta yang lebih selesa.
Ini adalah satu mitos yang lurus!.
Mereka yang pernah dan sedang mengamati kehidupan bebas hutang ni tidak termakan dengan norma yang dinyatakan diatas. Kad kredit tidak diperlukan untuk kehidupan seharian mereka.
Pembayaran ansuran kereta tidak menjerat mereka selama yang boleh. Mereka uruskan hutang seperti lipas kudung yang lari berkeliaran. Asal nampak sahaja dibunuhnya terus!.
Bagi sesetengah orang, hutang adalah perkara biasa. Tidak bagi kami, kerana kami memang pelik pun!
2. Mudah Kawal Diri Sendiri
Orang dewasa buat perancangan dan ikutinya seperti menganut agama. Kanak-kanak pula melakukan apa yang mereka rasa seronok sahaja.
Ayat macam anut agama tu mungkin kasar bunyinya tapi begitulah hendak dianalogikan.
Sebab itu mereka yang datang untuk minta personal coaching dengan saya dan mempunyai masalah hutang yang sedang menghimpit, saya anggap sebagai kanak-kanak yang perlu didorongkan ke jalan yang betul.
Seseorang yang benar-benar ingin keluar dari hutang mempunyai kemahuan untuk berjalan dengan selamba melewati bahagian kasut (dengan diskaun 70% kononnya) atau bahagian TV LED flat screen tanpa perlu melakukan pembelian yang impulsif!.
Mereka tidak terpengaruh untuk membeli sesuatu hanya kerana mereka menginginkannya atau ada diskaun gila-gila. Mereka cukup bijak untuk mengetahui bahawa membeli sesuatu tidak akan hapuskan semua masalah mereka dan membuatkan mereka merasa lebih baik.
Kenapa?
Kerana mereka tahu bilamana mereka terpaksa berhutang untuk memiliki barang itu bermaksud mereka tidak mampu. Melainkan mereka hanya beli secara tunai sahaja. Orang yang bebas hutang sanggup tunggu, bekerja keras dan terus menabung.
3. Sangat Yakin
Seseorang yang mempercayai perancangan keawangan, mereka tidak peduli dengan pendapat orang lain terhadap mereka.
Mereka tiada masalah pun bawa kereta lama kerana yang penting dah habis bayar. Mereka tidak perlu ambil percutian yang mahal-mahal semata-mata untuk muat turun posing-posing mereka di media sosial.
Mereka sebenarnya lebih utamakan tanda harga berbanding jenama itu sendiri.
Kenapa?
Kerana mereka tak kisah pun apa orang nak cakap dan tak tahu pun apa orang lain pakai.
Dan cuba teka? Disiplin yang tegas seperti ini lah yang membuatkan mereka ada duit lebihan untuk hapuskan hutang-hutang mereka.
Dengan setiap hutang yang mereka langsaikan, gelora semangat mereka semakin lonjak dan berasa lebih yakin untuk hapuskan hutang seterusnya.
4. Tak Takut Untuk Bercakap Tidak!
Sukar untuk menjalani kehidupan tanpa hutang ni jika anda selalu mengatakan ya bagi setiap hal yang berlaku.
Tidak kiralah sama ada dalam keputusan membeli-belah, percutian, makan bersama rakan, atau bahkan menghabiskan wang untuk bersuka ria. Penting untuk tetapkan perkataan TIDAK dalam kamus kehidupan anda, tak percaya cubalah buat. Anda akan rasai perbezaannya.
5. Sangat Berwawasan
Logiklah kah?
Sebabnya, bebas hutang ni satu matlamat. Jadi, orang yang bebas hutang adalah orang yang sentiasa mengutamakan objektif tersebut di hadapan mereka.
Kalau anda bebas hutang, secara automatiknya anda adalah seorang yang berwawasan dan tiada masalah untuk capai objektif yang lain.
Mereka tetapkan matlamat yang spesifik, boleh diukur, peka dengan masa serta menepati tujuan yang lebih bermakna.
Dan mereka tahu apa yang ingin mereka lakukan dan seterusnya rangka strategi untuk mengecapinya.
6. Perwatakan Yang Kuat
Tip nak makan ikan patin yang sedap adalah pilih ikan patin sungai berbanding patin sangkar. Sebabnya, ikan patin sungai ni lebih aktif yang menjadikan isinya lebih sedap.
Sudah, cerita pasal makan pula. Apa kaitannya?
Setiap mereka yang bebas hutang ni sebenarnya telah melalui zaman keperitan berhutang. Maka, pengalaman yang mengajar mereka ini menongkah arus telah menjadikan mereka lebih kuat. Bukan kuat pada fizikal, tapi kuat pada mental.
Mereka tahu bahawa setiap hutang yang dibuat sebenarnya telah menghakis sikit demi sedikit duit yang telah mereka jana. Jadi, mereka tidak mahu ulangi kesilapan yang sama. Maka tidak hairanlah anda perasan mereka yang bebas hutang ni sejenis kedekut.
Nak beli sesuatu barang yang memang diperlukan tu pun tunggu bila ada kupon atau diskaun. Kalau tak, memang tak beli lah. Fokus kerja keras sehinggalah ada diskaun.
Nampak tak persamaan antara ikan patin sungai dengan orang yang bebas hutang? Tak dapat pun, buat-buat fahamlah.
7. Sanggup Berkorban
Makan di luar, menonton wayang setiap minggu, dan pergi jalan bercuti setiap bulan adalah perkara yang mungkin dielakkan seseorang ingin mencapai bebas hutang. Orang kampung panggil, delay gratification.
Bila dah capai bebas hutang, biasanya mereka akan raikan kejayaan mereka dengan perkara yang mereka tangguhkan dulu. Orang bebas hutang ni bukanlah bosan pun, tapi bila mereka buat, mereka buat betul-betul ibarat raikan kemenangan selepas berperang.
Bezakan cara orang bebas hutang berseronok?
8. Mereka Tidak Suka Buat Perbandingan
Orang bebas hutang tidak membandingkan kehidupan mereka dengan kehidupan orang lain, lagi-lagi apa yang dipaparkan di media sosial.
Mereka tahu bahawa mereka sedang berada dalam perjalanan mereka sendiri, mengejar tujuan dan impian mereka sendiri. Dan kerana mereka tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain, mereka lebih tenang dan puas dengan kehidupan yang mereka jalani.
9. Tidak Hairan Dengan Barang-barang Mahal
Orang materialistik terlalu mementingkan ‘kebendaan’. Fokus mereka lebih tertumpu kepada pakej percutian, kereta mewah dan juga rumah besar.
Tetapi orang yang bertekad untuk keluar dari hutang tahu bahawa wang tidak membeli kebahagiaan. Mereka lebih puas dengan apa yang mereka ada dan kebahagiaan mereka ini tidak boleh dijual beli seperti kebendaan yang mewah itu tadi.
10. Bermurah Hati
Orang yang bebas hutang tahu bahawa mereka mempunyai kebebasan untuk hidup dan memberi dengan murah hati.
Mereka tahu bahawa semakin kurang bebanan mereka, semakin senang mereka untuk beri pertolongan. Sama ada mereka membantu keluarga, rakan atau misi kebajikan yang mereka percayai, nikmatnya lebih dahsyat dengan menyumbang kepada tujuan yang lebih besar daripada menyimpannya untuk diri mereka sendiri.
Rachel Cruze berkata,
“Memberi adalah yang paling menyeronokkan yang anda akan dapat dengan wang.”
Tak percaya? Cubalah dan lihat sendiri keajaibannya!
P/s : Masing-masing ada cara tersendiri untuk menyumbang dan janganlah kita persoalkan pula. Kalau tak, nampak sangat perangai jenis orang tak bebas hutang tu.