Tip Power Kurangkan Ansuran Bulanan Kenderaan

kurangkan-ansuran-bulanan
kurangkan-ansuran-bulanan

Kenapa pula kita nak kurangkan ansuran bulanan kenderaan? 
Terdapat banyak sebab dan antaranya ialah kerana :

  1. Apabila ingin menambah baik aliran tunai sedia ada.
  2. Lebihan aliran tunai digunakan sebagai modal mengumpul harta yang lebih bernilai tinggi.
  3. Menambah baik laporan CCRIS , kadangkala beberapa ratus ringgit adalah penentu antara mendapat kemudahan kewangan yang diinginkan atau tidak.
  4. Meningkatkan kuota pembiayaan , terutama apabila nama kita telah bersih dari pembiayaan kenderaan tersebut.

Antara kaedah yang digunakan untuk mengurangkan bayaran ansuran kenderaan adalah dengan :

  1. Membuat pembiayaan semula pinjaman sedia ada dengan institusi kewangan yang lain.
  2. Penjadualan semula pembiayaan dengan institusi kewangan sedia ada ( saya tidak galakkan kaedah ini kerana biasanya akan ada catitan didalam laporan CCRIS dan memungkinkan kesukaran mendapat pembiayaan dari institusi kewangan yang lain.
  3. Menjual kenderaan tersebut kepada pasangan

Contoh Kes

Objektifnya adalah :

  1. Untuk meningkatkan aliran tunai bulanan dari negatif kepada positif
  2. Memulakan simpanan untuk dijadikan modal mengumpul harta

Tuan punya kereta terbabit menjual keretanya kepada isteri beliau dengan nilai pembiayaan yang lebih rendah. 

Sebelum penstukturan kewangan , beliau perlu membayar ansuran bulanan kereta sehingga RM780 sebulan. 

Kini beliau dapat menyimpan lebih RM400+ sebulan berbanding -ve RM137 sebulan sebelum ini setelah di kurangkan ansuran bulanan kereta serta ansuran bulanan yang lainnya (PTPTN dan lain).

kurangkan-ansuran-bulanan

Katakan beliau menyimpan RM400 sebulan selama 2 tahun pada kadar pulangan 8% setahun , beliau akan mempunyai simpanan sebanyak RM 10,373 . 

Wang yang terkumpul ini dapat digunakan sebagai modal untuk membeli hartanah yang berharga dibawah RM100K sebagai permulaan atau membeli saham di bursa saham atau sebagai modal perniagaan kecil.

kurangkan-ansuran-bulanan

Bayaran ansuran bulanan sebelum penstrukturan adalah sebanyak RM780 sebulan .

Manakala bayaran ansuran bulanan selepas kereta tersebut dijual kepada pasangan adalah sebanyak RM 383.00 sahaja , yakni penjimatan sebanyak RM397.00 . 

Biarpun tempoh pinjaman di panjangkan , namun setelah wang simpanan terkumpul mencukupi kelak .

Pengadu akan mempunyai pilihan untuk menyelesaikan hutang keretanya lebih awal dari tempoh pembiayaan atau membeli kereta yang lain secara tunai kelak. 

Strategi ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja.

kurangkan-ansuran-bulanan

Perlu diingat mengurangkan ansuran bulanan kenderaan hanyalah salah satu kaedah atau alat sahaja . 

Ianya bukan obkjektif atau matlamat kewangan .

Kita perlu mempunyai matlamat kewangan yang jelas yang ingin dicapai dengan menggunakan alat kewangan yang di pilih. 

Ingat !!! Matlamat kewangan dulu baru pilih alat yang sesuai.

Artikel berkaitan

Beza Darjat Kewangan : Pasangan Ini Bangkit Dari Tekanan Hidup !

kewangan

Kisah ini di kongsikan oleh Puan X (bukan nama sebenar) dan saya telah dapat keizinan beliau untuk kongsikan kisah ini.

Diharap ianya boleh menjadi tauladan kepada kita semua dalam menjaga hubungan kekeluargaan terutama yang berkaitan kewangan.

Berikut adalah kisah beliau :

Minta maaf kerana sudah lama tidak update. Terlalu banyak gangguan dalaman dalam misi memperbaiki diri ini. 

Terima kasih kerana menjadi role model buat diri saya daripada terus kesesatan. Saya faham semangat Encik Zaidi yang kian hilang itu. Jadi, nak share sikit la kisah saya agar Encik Zaidi lebih bersemangat dalam meneruskan perjuangan urusinsan.
 

Saya ni anak sulong, dari keluarga berada. 

Ayah dulu pernah jadi CEO anak syarikat GLC , sebelum itu menjadi Pengurus Besar di GLC. Seterusnya bersara awal ketika saya baru masuk universiti. 

Ibu juga sama hebat, akauntan di sebuah syarikat GLC dan bergaji besar sebelum berhenti awal. 

Mereka ada syarikat telekomunikasi yang diuruskan bersama sekarang. Financial literacy kami typical seperti masyarakat umum.

Pada 2013, saya mempunyai masalah keluarga yang sangat teruk dan mengalami gangguan emosi. 

Keselamatan saya diancam oleh adik saya sendiri dan ibubapa melarang saya daripada melaporkan kepada polis. Oleh kerana demikian, saya memilih untuk berkahwin dan memulakan hidup baru termasuk bekerja (masih disyarikat yang sama). 

Suami dari keluarga sederhana namun banyak membantu saya meneruskan kehidupan ini. Sebab tiada role model, saya banyak melakukan kesilapan seperti diatas, makin hari makin parah. 

Berkahwin tanpa restu banyak cabarannya, namun cabaran yang paling susah dihadapi ialah sihir. Ni gangguan dalaman yang baru saya dapat tahu dan sedang tangani.

Sebelum berjumpa encik zaidi, saya sebenarnya sudah banyak kali hampir putus asa. Ibu bapa mengharapkan saya mengikut lifestyle mereka, dengan pergi percutian mahal2, balik rumah selalu (walaupun ancaman berterusan), ingin dibelikan barangan mewah2, isu kereta serta banyak memandang rendah pada kerjaya saya serta suami. 

Ini lah sebab utama saya tidak memberi duit tetap pada keluarga, namun bila berjumpa makan minum/entertainment atau permintaan apa2 saya akan bayar/beli. 

Sebelum mengetahui sihir yang dikenakan ke atas suami, saya juga banyak berputus asa pada hubungan kami. Kerana ingin berjuang juga, saya beli rumah yang sekarang kami duduk dan kurangkan lifestyle buruk dengan harapan keadaan akan jadi lebih baik. 

Saya juga beli insurance untuk cover jumlah hutang rumah. Keinginan saya ketika itu hanya untuk memberinya sebuah rumah, sebuah kereta setelah saya tiada.

Saya sangat bersyukur dapat mengenali seorang mentor yang dapat membantu saya menjadi lebih baik. Encik Zaidi banyak membantu mengurangkan bebanan mental dari gangguan-ganguan dalaman yang ada. Serta mengcungkil potensi yang ada. 

Ucapan terima kasih bagi saya tidak cukup untuk jasa dan kesan yang diberi. Namun saya selitkan juga doa agar Encik Zaidi dan mem COO sentiasa sihat dan murah rezeki.

Saya kurang bagus dalam penulisan, mohon ampun jika tersalah bahasa. Saya tahu Encik Zaidi kurang berkenan dengan isu dalaman. Tetapi, sesi bersama Encik Zaidi banyak mengubah kehidupan saya, menjadi lebih baik. Saya sahut cabaran yang diberikan. Teruskan la perjuangan membantu insan seperti saya kerana kami memerlukannya.

Salam Tuan ,
Berikut sedikit perkembangan dari saya.
 
Ahli urusinsan yang telah menghadiri sesi pertama pada 20/8/2015.
 
RINGKASAN :-
Pendapatan Bersih
Isteri : 2700 (setelah di tolak KWSP SOCSO insurance)
Suami: 2500 (suami beri 2000 untuk uruskan semua)
 
Perbelanjaan Bulanan :
Rumah : RM1562
Kereta : RM630
ASB Loan : RM534
Pinjaman Peribadi RHB : RM 680
Pinjaman Peribadi CIMB : RM RM445
Kad Kredit : RM500
Pinjaman MARA : RM100
Makan : RM600
Bil astro & internet : RM276.65
Maxis : RM120
Electrik : RM40
Minyak : RM150
AKPK suami : RM240.
 
Baki Hutang Terkini:
Kereta : RM40K – tanpa kiraan rebate (5tahun 4 bulan)
Pinjaman ASB : RM~7k(principal), loan 36k
MARA : RM~900
 

PELAN TINDAKAN:

1) Sebelum ni negative cashflow (Aliran Tunai) RM1665 sebulan, namun setelah adjustment lagi dikurangkan kepada negative RM1177.65 sebulan.

2) Withdraw KWSP untuk 6 bulan RM1117 (bermula sept 2015)

3) Sudah terminate insurance setelah setahun, surrender value RM905.51 seorang. Total RM1811.02 (November 2015) Mulai December Gaji bersih 3000. Untuk membayar habis MARA

4) Sudah terminate pinjaman asb, namun processing pada january. Masih perlu bayar installment january. Akan menggunakan principal + dividen untuk settle cc & achieve positive cashflow.

5) Masih belum berjaya untuk pindah dan sewakan rumah, suami tiada kata putus. Cadangnya di flat belakang rumah sahaja RM650. Juga tidak dapat jualkan kereta kerana tiada kata putus dari suami tentang Axia. Mungkin refinance kereta ke AmBank (online quotation 450 tapi belum jumpa pegawai)

6) Refinance personal loan ni tricky sedikit, sudah bertanya bank rakyat tetapi memerlukan potongan gaji. Majikan tidak bersetuju polisi ini tetapi masih boleh diusahakan. Pegawai bank rakyat mengatakan ada cara kira DSR yang baru iaitu mengambil kira kos sara hidup di bandar RM 1600 yang ditolak dari gaji bersih. Hanya setelah itu baru boleh membuat kiraan 60%, jika begitu agak sukar untuk saya refinance loan2 tersebut.

7) Duit OT depan elaun tidak tetap masih lagi tidak dapat dikumpul sebagai simpanan. Digunakan untuk servis motor suami, kos balik kampung, kos-kos suami, emergency serta tampung negative cashflow. Jumlah masih unpredictable namun saya mencatit pada buku 555 (habit baru, buku 555)

8) Astro hanya bole terminate setelah 2 tahun. Pada 2017.
 
Salam Tuan ,

Semoga sihat bersama mem coo. Saya masih belum berpeluang book slot kedua, asyik penuh! =)

Namun ada sedikit update daripada saya.

Ayah mertua saya telah meninggal dunia 2 haribulan Januari yang lalu. Setelah berbincang dengan suami, kami ingin terus menggunakan rumah sekarang (komitment RM1562) atas sebab2 berikut:

1) Bawa ibu mertua, adik ipar dan kakak ipar duduk skali.

2) Secara tidak langsung, mengurangkan bebanan ibu mertua yang masih menanggung kakak ipar (belum berkahwin), adik ipar masih belajar.

3) Lebih jimat(berdasarkan kemampuan kami sekarang) untuk menjaga ibu mertua dan adik beradik jika tinggal bersama.

Jadi bagi mencapai simpanan lebih, saya bercadang ingin menjual kereta saya (komitment RM626 sebulan, baki hutang setelah rebate 35k). Sudah diiklankan di Mudah & Carlist. Ada kedai datang melihat tapi syarat dia pelik sedikit. Mohon pendapat Encik Zaidi terhadap agreement tersebut (seperti yang di lampirkan). 

Harga jualan saya letakkan baki bank tapi jika 1-2k discount, rasanya masih berbaloi kerana long term saving duit komitment. Okay ke tindakkan saya ini? Sekarang ni masih boleh menggunakan kereta keluarga suami.

Mulai Februari 2017, RM300+534+500+100-1117= RM317 positive cashflow. 

Boleh simpan duit kwsp rumah RM1117. Jika kereta dijual, potential saving sebulan RM983 (tidak termasuk kwsp rumah). 

Total simpanan bulanan akan menjadi RM1609 sebulan

Insyaallah, akan dapat kenaikkan gaji serta promotion tahun ini. Namun revision hanya diberi mulai bulan april. Belum pasti jumlah yang sebenar. 

Selesa dengan lifestyle sekarang dan akan teruskan saving semuanya.

Negative baru: suami ada hutang ptptn (~16k) yang belum dibayar atau di ambil kira. Namun, ada tawaran restructure Januari lalu dengan membayar RM300. Suami perlu hantar agreement untuk restructure komitment bulanan. Belum tahu berapa.

Akan mula mencari bank refinance loan mulai bulan Februari ini.

Cadangan Saya

Wsalam, Salam Takziah dari saya.

Mengenai penjualan kereta , sila hati-hati . Pastikan nama anda ditukar terus kepada pembeli. Jangan letak kereta di kedai kereta. Kalau ada sesiapa yang nak beli , terus jual. Bayar baki hutang di bank , kemudian pergi JPJ dan tukar nama . 

Ditakuti jika tidak dibuat demikian akan ada yang ambil kesempatan . Contohnya guna kereta anda tapi tak bayar di bank dan tidak tukar nama . Nanti anda yang kena tanggung. Jangan sekali-kali benarkan orang lain sambung bayar hutang kereta anda. Sila berhati-hati.

Yang lain-lain boleh diteruskan buat masa ini . Buat rayuan di PTPTN untuk kurangkan bayaran bulanan dari RM300 kepada RM100 jika boleh buat sementara ini . Jika perlu tawarkan bayar lumpsum RM1K ke PTPTN dengan ansuran bulanan RM100 sebulan. 

Tingkatkan simpanan adalah fokus utama ketika ini.

 
Anda sudah boleh mengambil takaful kesihatan / kemalangan keluarga. Bajet RM150 premium sebulan untuk satu keluarga buat masa ini , kita akan tingkatkan dari masa ke semasa bergantung kepada kesihatan kewangan anda kelak.
 
Sila update perkembangan anda apabila anda mula mencapai total simpanan minima RM10K kelak.
 
Komentar Saya

Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini , lebih 90% yang bertemu saya mempunyai masalah dalaman seperti ini . Secara umumnya ramai orang tiada masalah kewangan. 

Nombor-nombor boleh disusun dan direncanakan , tapi hati dan perasaan amat berat untuk di ubah dan disusun mengikut keutamaan . Terutama jika melibatkan keluarga dan sahabat handai. 

Masalah kewangan lebih mudah diatasi jika kita dapat mengasingkan emosi dari fakta-fakta kewangan.

Tiada yang kekal dalam konteks kewangan . Kita mungkin perlu jual kereta yang kita berhutang hari ini , esok lusa kita mungkin beli kereta secara tunai . 

Hari ini mungkin terpaksa batalkan takaful , esok kita ambil perlindungan yang lebih baik. 

Hari ini kita jual barang kemas tapi esok lusa kita mampu beli sebuah rumah. 

Itulah perancangan kewangan , kita merancang untuk sesuatu yang lebih baik akan datang.

Selamat beramal.

Artikel berkaitan

Bagaimana Pengorbanan Emosi Hati & Perasaan Membawa Keuntungan Kewangan

simpanan

Setelah beberapa ketika saya berkongsi masalah kewangan yang dilontarkan oleh rakan-rakan di laman sosial ini , saya dapati satu kesimpulan.

Cara dan kaedah penyelesaian masalah kewangan terutama beban hutang yang ditanggung netizen-netizen ini , ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan kaedah yang dikongsikan terutama yang melibatkan pengorbanan emosi , hati dan perasaan.

Dalam konteks kewangan , setiap tindakan kewangan yang diambil pasti melibatkan kos.

Sebagai pengamal dalam indusri kewangan dan pelaburan , mencari kos termurah adalah wajib.

Dalam konteks kewangan , semua ini dikira menggunakan nombor-nombor serta formula-formula matematik tertentu sebagai ukuran atau penanda aras akan keberkesanan tindakan kewangan terbabit.

Sebagai contoh :

Hutang peribadi sebanyak RM10K dalam tempoh 10 tahun dengan kadar keuntungan 5% akan mengakibatkan kos sebanyak RM2,727.86 pada individu terbabit , yakni hutang RM10K tetapi bayaran balik adalah sebanyak RM12,727.86 sepanjang tempoh 10 tahun.

Oleh itu , untuk golongan seperti saya akan mencari kos serendah mungkin dalam apa jua transaksi kewangan terutama dalam proses penyelesaian hutang.

Lebih rendah kos suatu punca kewangan atau modal lebih cepat dan efisien hutang dapat di langsaikan.

Oleh yang demikian , kos termurah (tiada kos) yang melibatkan seseorang individu berkaitan kewangan adalah kos yang tidak berkaitan dengan kewangan kewangan seperti emosi , hati dan perasaan yang boleh digunakan untuk untuk selesaikan masalah atau hal-hal berkaitan kewangan.

Ini kerana wang itu sendiri tidak mempunyai emosi. Satu eksperimen ringkas boleh dilakukan untuk membuktikan pandangan ini.

Sebagai contoh , ambil wang tunai bernilai RM1K dan bakar wang tersebut dihadapan pemiliknya. Cuba perhatikan adakah wang tersebut akan meraung kesakitan atau pemiliknya yang meraung? Kenapa mesti terasa atau beremosi dengan wang sedangkan wang tidak memiliki emosi ?

Begitu jugalah apabila ada yang terasa atau beremosi apabila cadangan penstrukturan semula kewangan menyentuh ahli keluarga , rakan taulan , sedara mara , ibu bapa dan sebagainya , komen-komen seperti “apa orang kata nanti ?” , “mak abah tak terasa ke?” , “nanti anak-anak bising” , “kesian kucing tu kena jual” dan sebagainya sedangkan perkara-perkara ini tidak memberi sumbangan keatas kesejahteraan kewangan kita.

Sebelum difikirkan emosi dan perasaan orang lain , dahulukan yang lebih penting. Yakni diri dan keluarga kita (anak , isteri & suami) kerana itu adalah keutamaannya. 

Taklimat keselamatan didalam pesawat udara pun akan menyuruh kita memakai tali pinggang atau alat keselamatan keatas diri kita dahulu sebelum memakaikannnya pada anak kita sendiri.

kewangan

Dilampirkan contoh hasil dari pengorbanan emosi , hati dan perasaan yang terpaksa dilalui demi kesejahteraan dan masa depan diri dan keluarga apabila melakukan penstrukturan semula kewangan yang bermasalah.

Kesannya lebih baik dapat dilihat selepas melalui proses pengorbanan emosi , hati dan perasaan dilakukan. 

Keluarga serta rakan taulan juga menerima tempias yang lebih baik selepas itu. Pengorbanan jangka pendek untuk keuntungan jangka masa panjang bukanlah suatu yang tidak baik. 

Berterus teranglah dengan mereka yang terlibat biar pedih mana pun kesannya , ubat yang baik biasanya berasa pahit untuk ditelan.

Saya percaya , untuk berjaya dari segi kewangan , emosi & perasaan terpaksa di korbankan demi mencapai matlamat kewangan seseorang individu kerana kosnya yang jauh lebih rendah / murah berbanding wang itu sendiri.

Penafian :

Perkongsian pandangan diatas adalah berdasarkan pengalaman penulis berkaitan perancangan kewangan dan pelaburan bukan dari sudut motivasi , agama atau psikiatri (kesihatan jiwa).

kewangan

Artikel berkaitan

Tip Elak Hutang Kereta, Dapat Beli RM40k Tunai!

tips-beli-kereta

Hutang kereta merupakan antara punca kebanyakan orang muflis. Antaranya disebabkan oleh nilai susut yang tinggi berbanding dengan pinjaman yang dibuat. 

Dengan kata lain hutang kereta lebih tinggi berbanding dengan nilai kereta itu sendiri. Walaupun di jual , besar kemungkinan pengguna terpaksa menambah perbezaan antara harga jual dengan baki hutang.

Dengan kata lain masih berhutang dengan pihak bank , biarpun kereta tersebut telahpun di jual.

5 Kos Tambahan Beli Kereta

Bagi yang berhutang untuk membali kereta , terdapat 5 kos yang terpaksa di tanggung pengguna.

1. Bayaran ansuran bulanan (hutang kereta)
2. Minyak
3. Penyelenggaraan / Kerosakan
4. Penambahbaikan (modifikasi & aksessori)
5. Takaful dan Cukai Jalan

Yang mana jika dihitung , besar kemungkinan 100% dari bayaran bulanan kereta tersebut !

Sebagai contoh , jika bayaran bulanan kereta RM500 sebulan , pengguna terpaksa menyediakan RM1K sebulan untuk menampung keseluruhan 5 kos tersebut.

cara-beli-kereta
Jika lampiran ini boleh di jadikan contoh :-
Diharap ianya dapat memberikan sedikit pencerahan kepada Tuan Shahrizal Sulaiman.
 
Kereta Aveo 1.5 (A) tahun 2005 (yang jumpa cuma tahun 2004 untuk dijadikan contoh) dibeli oleh saya sebagai hadiah pertunangan dan perkahwinan pada awal 2009. 
 
Saya beli dengan Harga RM27K tunai.
 
Kereta yang sama kini (baca tahun 2013) dijual pada harga RM19,800. Oleh yang demikian , susut nilai kereta tersebut ialah :-
RM27K – RM19800 = RM7200
Susut nilai = RM7200 / 48 bulan (4 tahun) = RM150 sebulan.
 

Perbandingan :

tips-beli-kereta

Jika diambil pinjaman kenderaan pada kadar 3% bagi pinjaman sebanyak RM24,300 (10% atau RM2700 sebagai deposit) selama 4 tahun atau 48 bulan , maka bayaran bulanannya ialah sebanyak RM567.00 sebulan dengan menggunakan kalkulator Ambank (http://www.ambankgroup.com/…/Pages/HirePurchase.aspx )

Jika saya ambil maklumat di atas sebagai rujukan:-

RM 567 – RM150 = RM417 / bulan


Jika RM417 ini disimpan di ASB selama 4 tahun pada kadar 8% setahun , jumlah simpanan = RM21,222.

Rujukan : http://myrakan.com/misc/asb.php

Dan jika saya menjual kereta isteri saya pada harga RM19,000 (berdasarkan lampiran) hari ini dan ditambah dengan RM22K hasil simpanan ASB , saya dapat menghadiahkan sebuah kereta (tunai) dengan harga belian sebanyak RM41K.
 
1. Daripada saya bakar RM417 sebulan , lebih baik saya bakar RM150 sebulan.
2. Hati tenang , tiada hutang boleh upgrade kereta bila-bila senang
3. Bank tidak akan absorb apa-apa , bank hanya penjual hutang.
 

Lain padang , 
lain belalang ,
lain sekolah hidup ,
lain sudut pandang ,
raikan perbezaan. 

Waallahualam.

Penafian :

Artikel asal ini ditulis pada tahun 2013 , nilai dan kiraan mungkin berubah kini. Harap Maklum.

Artikel berkaitan

Instrumen Apa Sesuai Untuk Laburkan Duit?

Antara perkara yang sering ditanyakan kepada saya ialah bagaimana untuk bermula dan di mana hendak laburkan wang atau simpanan yang ada ? 

Jawapan ringkas di mana sahaja selagi ianya dapat memenuhi matlamat kewangan anda.

Kalau tak pasti apa itu matlamat kewangan, ianya bolehlah di ringkaskan seperti dibawah ini :-

1. Perkara (contoh: nak beli rumah)
2. Nilai (contoh : RM100K)
3. Masa atau tempoh ( contoh : 5 tahun)
4. Halal atau Tidak ?

Jadi ,
jika apa juga tindakan yang anda lakukan selagi ianya dapat memenuhi matlamat kewangan (seperti contoh diatas) , maka itulah pelan yang sesuai buat anda.

Itulah instrumen yang sesuai untuk anda laburkan.

PERINGATAN :

Ingin memenuhi akaun ASB atau mana-mana akaun , atau ingin mempunyai 10kg emas atau yang serupa dengannya bukanlah matlamat kewangan.

Matlamat kewangan adalah merupakan satu usaha untuk memenuhi perkara-perkara berikut :

1. Keperluan hidup 

(3 keperluan utama & 4 keperluan moden)

– Makan & minum
– Tempat tinggal
– Pakaian
– Pengangkutan
– Pendidikan
– Komunikasi
– Kesihatan

 

2. Keperluan Persaraan

 

3. Keperluan Estate atau harta yang di wariskan (anak , cucu cicit serta keturunan)

Selain daripada 3 perkara utama diatas , ianya adalah kemahuan / kehendak semata-mata. 

Tapi kalau kemahuan / kehendak dijadikan matlamat hidup , siapalah saya untuk menegur anda. 

Sendiri mahu ingat.

Jikalau anda masih tidak mempunyai matlamat kewangan yang jelas , maka buatlah macam mana, pusinglah macam mana , sampai kiamat pun takan puas hati.

Sampai kesudah pun tak sampai destinasi. Kalau tak tahu destinasi , macam mana kita tahu dah sampai ke belum tempat yg nak di tuju? 

Begitulah juga dengan kewangan.

RALAT : 

Matlamat kewangan hanya boleh dikira melalui fomula matematik , ianya tidak boleh dikira melalui hati dan perasaan.

Saya beri satu contoh , berdasarkan Artikel diatas:

Perkara : Nak Membeli Rumah
Nilai : RM100K
Tempoh diperlukan : 5 tahun

Pilihan 1 : Pembelian Tunai

Kaedah 1 – Menyimpan

= 100K / 5 tahun / 12 bulan
= RM1667 sebulan

Kalau boleh menyimpan sebanyak RM1667 , maka matlamat anda telah pun tercapai.

Kaedah 2 – Pelaburan

= ROI 8% setahun
= RM1360 sebulan selama 5 tahun
= RM100K (total 5 tahun)

Kalau boleh melabur secara konsistent sebanyak RM1360 sebulan pada kadar pulangan sebanyak 8% setahun , maka matlamat anda telah tercapai.

Tapi saya cuma boleh laburkan sebanyak RM500 saja sebulan,
habis tu camno?

= RM500 / sebulan
= Kadar pulangan minima utk capai RM100K dalam masa 5 tahun
= 43% setahun

* maka kena carilah bentuk pelaburan / perniagaan yang boleh memberikan pulangan secara konsisten sebanyak 43% setahun utk mencapai matlamat anda.

OK , macam ni En. Zaidi ,
Saya ada RM10,000 dalam simpanan, dan saya boleh laburkan sebanyak RM500 setiap bulan,
habis tu camno?

Modal Asal= RM10K
Pelaburan Bulanan = RM500 sebulan

Utk Capai RM100K dalam masa 5 tahun = 27%

* Maka carilah pelaburan yang bole memerikan anda pulangan sebanyak 27% setahun secara konsisten.

Susah la En. Zaidi ,
lagipun saya saya bukannya berani dengan pelaburan yang saya tak tahu.

Pulangan tinggi mesti risiko tinggi.

Macam ni lah,
kalau saya sanggup tunggu lebih lama dan saya boleh tingkatkan pelaburan saya dari RM500 sebulan kepada RM700 sebulan dan gunakan modal RM10K dgn pulangan sebanyak 8%, berapa lama saya perlu tunggu untuk dapatkan RM100K supaya saya boleh beli tunai ?

ROI = 8%
Pelaburan Asal = 10K
Pelaburan Bulanan = RM700 / bulan
100K = 7 tahun 6 Bulan.

Kalau anda boleh terima tempoh yg sedikit lama dengan pulangan serta risiko yang lebih rendah , maka anda telah mencapai matlamat anda.

Setelah berpuas hati dengan kiraan anda, maka bolehlah anda kini memilih jenis pelaburan yang boleh memberikan pulangan yang dapat mencapai matlamat kewangan anda.

Prosesnya :

1. Matlamat Dulu
2. Kira
3. Pilih Pelaburan yg bersesuaian dengan risiko boleh terima anda.

Untuk kiraan mudah , anda boleh guna fomula yg berada di laman web ini :> http://bit.ly/IWi0Tt

Ini hanyalah salah satu contoh kaedah yang digunapakai.

Hanya sekadar berkongsi sedikit pengalaman, Wallahualam.

Artikel berkaitan

7 Tip Didik Anak Untuk Ibubapa Yang Sibuk

kerja-vs-surirumah

Tip didik anak ni adalah merupakan perkongsian daripada Puan Nor Fazilah Abd Mohd ahli urusinsan yang merupakan seorang bekas guru. Beliau bersama suami juga merupakan pengasas dan pengusaha Minyak Asmak yang berjaya. 

Berikut adalah perkongsian pengalaman beliau mendidik anak-anak khusus untuk ibu bapa bekerjaya yang sibuk.

Saya bekas guru yang berada dalam bidang perguruan selama 15 tahun (12 tahun di sekolah + 3 tahun jadi guru pelatih) dan ibu kepada 5 anak yang berusia 3 tahun-12 tahun.

Boleh jadi saya bukanlah orang yang layak untuk berkongsi tip ini dan boleh jadi juga tip ini berguna kepada anda. Jika baik,silakan ambil,jika tidak abaikan. 

kerja-vs-surirumah

1. Bekerja vs Surirumah ; Kualiti vs Kuantiti

 

Walaupun anda bekerja, tidak semestinya anda tidak boleh meluangkan masa dengan anak anda. Ia bukan tentang berapa banyak masa anda dengan anak anda, tetapi berapa banyak masa berkualiti yang anda mampu beri kepada anak anda.

Ada ibu yang duduk di rumah tetapi 24 jam sibuk dengan urusan rumahtangga dan berkepit dengan handphone, jadi apa sangat beza dengan anda yang bekerja 9am-5pm pulang ke rumah dan uruskan rumahtangga dan anak-anak?

Tidak dinafikan ada surirumah yang bijak menguruskan masa dan meluangkan masa berkualiti yang banyak dengan anak mereka,tahniah.Tapi tujuan penulisan ini untuk memberi semangat kepada mereka yang bekerja tapi mengatakan tiada masa.

2. Susun Jadual

 Anda harus tahu waktu anda perlu komited dengan kerja. Pastikan hal kerja habis di tempat kerja. Semaksimum yang boleh, selesaikan hal kerja di tempat kerja sahaja kecuali terdesak. Anda harus bertegas yang waktu kerja untuk buat kerja dan bila pulang ke rumah, anda adalah milik suami dan anak-anak. 
 
Rancang masa anda untuk menguruskan hal rumahtangga dan jika boleh buat bersama-sama. Jadikan aktiviti menguruskan rumahtangga itu sesuatu yang menyeronokkan.

Jika anak sudah besar sedikit, ajak mereka membantu bersama-sama. Sambil itu boleh berbual-bual. Bayangkan sambil memasak, sambil melipat pakaian, dan mengemas rumah, anda boleh berinteraksi dengan mereka. Ikatan kekeluargaan pun bertambah erat. 

Bayangkan anda yang sibuk, tapi tetap ada masa berkualti 1-2 jam sehari buat anak, best sangat kan? Waktu itulah anda bersembang dari hati ke hati, bacakan anak buku, dan macam-macam lagi. Berbanding dengan mengadap anak 24 jam tapi sibuk. Waktu yang berkualiti itu tersangatlah berharga buat anak-anak.
pengurusan-masa

3. Pengurusan Masa Berkualiti

Selepas semua urusan selesai, anda harus cari peluang untuk keluarga anda agar dapat menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Di rumah kami memang ada bilik khas untuk solat, mengaji, membaca buku dan sebagainya.

Dulu ianya pernah meriah antara waktu Maghrib ke Isyak, tapi tak dinafikan adakalanya ianya sunyi memandangkan anak-anak pun dah tinggal di asrama dan kami juga kadangkala lewat balik ke rumah.

Pastikan anda semak bacaan solat anak anda, cara mereka mengambil wudhu dan mengerjakan solat. Usah serahkan pada guru mereka semata-mata. Saya berbangga sebab anak-anak saya pandai Al Fatihah dulu dari saya. 

Bayangkan sehari berapa kali mereka baca Al Fatihah, pahala mengalir kepada kita sebagai “guru pertama” mereka. Bukan al Fatihah sahaja, jika boleh biarlah pandai mengaji dan solat pun dari kita juga. 

4. Aktiviti Untuk Masa Berkualiti

Apa yang anda boleh lakukan bersama sebenarnya? Saya pecahkan kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama anda membuat kerja rumah bersama.

Bahagian kedua, mengerjakan ibadah bersama. Di saat menunggu solat Isyak,anda boleh bagi tazkirah pada anak-anak, minta anak bacakan kisah nabi, selang seli dengan buku adab dan akhlak, hadis dan sebagainya-buat secara berkala. Buku-buku yang saya beli sangat membantu pengisian ini.

Di rumah saya memang ada “mini library” dan rak buku di mana-mana. Antaranya di ruang tamu, di bilik solat dan di bilik tidur. Ini akan mewujudkan suasana suka membaca. Tapi ia tidak akan berlaku jika kita tidak menggalakkan mereka. 

Malah ada masa kita perlu memaksa. Boleh minta mereka mencatat bilangan buku yang dibaca, lengkap dengan tajuk dan hari/tarikh. Mereka akan berebut bila kita kata akan bagi hadiah pada mereka yang paling banyak membaca. 

Saya dah pernah mencubanya dan ia berhasil. Ramai ibu bapa hari ini berebut nak tunjuk anak mereka pandai baca seawal usi 3-5 tahun, tetapi berapa ramai yang berjaya membuatkan anak mereka jadi ulat buku pula ? Bagi anak pandai baca tak sesusah nak bagi mereka cintakan buku dan ilmu.

Fikir-fikirkanlah.

Bahagian seterusnya ialah dengan membawa mereka berjalan sekali-sekala ke tempat yang ada aktiviti dan meninggalkan memori kepada mereka. 

Kami ibubapa yang suka melayan zaman kanak-kanak anak kami. Jika masa terhad, kami sekadar bawa mereka memancing, menjala ikan, mandi sungai, air terjun dan kolam air panas terdekat.

Jika ada masa sesuai, kami bawa mereka jauh sedikit ke lokasi yang terletak di negeri-negeri lain. Kami percaya, luas pemandangan anak-anak, luaslah pengalaman dan pengetahuan mereka.

Kami sangat kerap membawa anak-anak ini mengembara dan bermusafir. Jika kurang mampu, boleh sahaja pergi ke kawasan yang berhampiran, pantai-pantai, hutan dan menjelajah alam semulajadi. Anak-anak kami direzekikan mengerjakan umrah di waktu muda,Alhamdulillah.

 

5. Kenali Rakan Anak Anda

 

Anda perlu tahu dengan siapa anak anda berkawan dan bagaimana sikap mereka. Saya sangat tegas ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan akan melarang keras mereka berkawan dengan mereka yang bermasalah.

Ini penting sangat sebab siapa kawan anak kita, itulah diri mereka nanti. Anak saya sebenarnya kurang sangat kawan sebab mereka lebih rapat dengan kami. Segala masalah mereka dan luahan hati akan diberitahu kepada kami.

Awas jika anak anda lebih rapat dengan kawan mereka, anda bukan lagi tempat mereka mengadu. Bayangkan jika mereka tersalah terima nasihat dari rakan mereka yang bermasalah? Tak dapat dibayangkan bukan ?

Selalulah ajar anak untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Kita tak dapat nak ubah anak orang, tapi kita mampu mengubah anak kita bukan ? 

Sebagai contoh, bila anak saya mengadu dia diejek, saya minta dia supaya jangan endahkan dan jangan balas, lama-lama orang yang mengejek akan diam. 

Ini memang masalah besar bagi sesetengah murid, jika berterusan juga, silalah ambil tindakan yang sewajarnya dengan mengadu pada guru sebab benda yang kita sangka kecil boleh menggangu emosi dan mental anak-anak sehingga dewasa !

6. Berbaiklah Dengan Guru Yang Mengajar Anak Anda

Anda perlu tahu siapa guru kelas mereka dan siapa yang mengajar anak anda. Sebagai bekas guru, suka saya kongsikan yang saya sangat suka bila ada ibu bapa yang sentiasa call/sms atau whatsapp bertanyakan anak mereka.Ianya sangat menggembirakan.

Itulah masa untuk saya memberitahu ibu bapa mereka perkembangan anak mereka dan apa yang mereka boleh bantu di rumah.

Malangnya ini sangat jarang berlaku. 

Anda sebagai ibu bapa ada hak untuk mengetahui perkembangan anak anda. Pastikan anda ada no telefon guru anak anda, dan jika ada group whatsapp ibubapa-guru tersangatlah bagus. Gunakan medium itu semaksimum yang boleh untuk mengetahui perkembangan anak.

Jika ingin bertanya perkembangan anak, elok sahaja PM tepi. Oh ye, kalau nak harap tanya semasa hari penyerahan buku rekod, guru tertakluk dengan arahan “cerita yang positif dan beri semangat sahaja”- tak pastilah semua sekolah atau tidak. Tapi kami dulu dilarang keras memberi feedback negatif tentang murid pada ibubapa.

Mungkin tujuannya untuk menjaga perasaan ibu bapa atau guru perlu kreatif dalam menyampaikan feedback agar tiada hati yang terguris. Entahlah, saya kurang pasti. 

Tapi saya sentiasa cuba jujur dengan ibubapa yang hadir sebab saya tak suka nak bermanis mulut dan saya nak mereka berpijak di bumi nyata. Solusi dan kata-kata semangat juga diberi. 

Mulai hari ini buang rasa segan, malu atau takut menyusahkan guru jika anda bertanya kepada mereka tentang anak anda. Itu adalah HAK anda dan anda WAJIB tahu.

Jika jawapan ala kadar,itu menunjukkan guru tersebut kurang cakna dengan anak muridnya. Bukan nak cakap besar, tapi nak jadikan panduan untuk anda ; saya dulu boleh bercerita detail tentang anak-anak murid yang saya ajar kalau ibubapa mereka bertanya siap dengan perincian lagi. 

7. Jaga Hubungan Dengan Allah

Selepas kita dah usaha, haruslah kita sentiasa tekun dalam menjaga hubungan dengan Allah swt. Sebaiknya sebelum melakukan sesuatu kita sudah berdoa. Sentiasa meminta kepada Allah agar anak-anak kita menjadi anak-anak soleh dan solehah yang bersopan santun, berakhlak mulia, beradab, berilmu dan dipermudahkan urusan dan berjaya dunia akhirat.

Doakan kawan-kawan mereka, doakan guru-guru mereka.

Bila orang sekeliling semua baik, insyaAllah anak-anak kita akan membesar menjadi anak yang baik. Persekitaran juga memainkan peranan dalam pembesaran anak-anak kita. 

Anda juga boleh bergabung dengan jiran anda untuk mewujudkan aktiviti dengan anak-anak. Alhamdulilah saya ada jiran yang baik yang selalu buat usrah dan diselang seli dengan aktiviti untuk anak-anak.

InsyaAllah kami juga merancang untuk bergilir buat aktiviti untuk anak di rumah dengan menggunakan kepakaran masing-masing.

Sebagai contoh,aktiviti di rumah A – anak-anak berkumpul dan belajar tentang solat, di rumah B belajar mengaji , di rumah C mendengar kisah nabi , bercerita dan motivasi.

Malangnya tak sempat nak perkemaskan sebab anak-anak kami berjauhan. Tapi saya sedang usahakan untuk buat program membaca dan motivasi berterusan di tahfiz anak saya, doakan ianya dipermudahkan insyaAllah.

Sekian tip dari saya untuk anda, ibu bapa yang sibuk.

Sekiranya ada yang nak perbetulkan, nak tambah dan sebagainya, amat saya alu-alukan.

Semoga memberi manfaat dan berguna kepada anda dalam kehidupan seharian yang semakin mencabar ini.

Saya percaya jika ibu bapa sebagai “guru pertama” anak-anak memainkan peranan yang betul, pasti segala masalah sosial anak-anak muda pada hari ini dapat dibendung. Kami pun bukanlah sempurna, tapi kami cuba untuk melakukan yang terbaik, insyaAllah.

 
Sila share jika rasa ianya bermanfaat.
Sharing By Nfam ( Nor Fazilah Abd Mohd)
 

Artikel berkaitan

Celikkan Kewangan Diri Sendiri Dulu, Baru Keluarga Kita.

kewangan-peribadi

Secara peribadi salah satu sifat diri yang ada pada saya ialah pentingkan diri sendiri dalam hal kewangan. Ini kerana saya tahu tiada siapa yang akan datang berlari membantu ketika saya susah.

Mungkin ini merupakan pengaruh pengalaman ketika saya dan keluarga saya susah suatu ketika dahulu.

Oleh itu dalam semua hal yang saya lalukan akan saya dahulukan diri saya dan keluarga saya terlebih dahulu.

Oleh sebab saya kenal diri saya ,
apa sahaja program yang saya lakukan akan bersifat mementingkan diri.

Saya tidak mengadakan seminar secara besar-besaran atas alasan yang sama. Kalau ada pun, sebab jemputan pihak lain. 

Saya lebih suka kelas dan bengkel dalam kapasiti kecil.

Macam Coaching Kewangan Berkumpulan (saya limitkan peserta)  dan sesi analisa kewangan secara bersemuka atau “one on one” juga disebabkan oleh sikap dan sifat diri saya yang mementingkan diri sendiri. 

Saya percaya mereka yang merasakan memerlukan bantuan , ilmu dan pandangan alternatif akan mencari sendiri. 

Mereka akan mencari dan hadir sendiri didalam majlis ilmu jika itu menjadi keutamaan hidup mereka ketika itu. 

Semuanya lahir di dalam diri dan sanubari sendiri.

Atas sifat pentingkan diri sendiri jugalah saya mewujudkan urusinsan.

Saya percaya menguatkan individu itu penting sebelum menguatkan jemaah. 

Apabila seseorang individu itu kuat ,
maka keluarganya akan kuat dan seterusnya jemaah dan masyarakat juga akan kuat akhirnya.

Contoh dibawah adalah sebuah keluarga yang menghadapi cabaran kewangan.

kewangan-peribadi

Kini setelah 3 tahun ,
mereka semakin kuat.

Kini mereka ingin mengorak langkah kehadapan.

Sila tanya pada diri sendiri ,
apa pencapaian kita secara individu dan keluarga 3 tahun kebelakangan ini ? 

Keluarga hartawan ini mempunyai tabungan melebihi RM150K tidak termasuk harta-harta lain kerana mereka mementingkan diri dan keluarga terlebih dahulu.

Mereka fokus pada isu dalaman mereka sebelum menyibuk meninjau isu-isu luaran yang tiada kena mengena dengan kehidupan mereka.

Setelah memberikan tumpuan perkara-perkara kepentingan diri dan keluarga maka kini mereka boleh mengorak langkah dengan memberikan tumpuan baru kepada jemaah seperti menjana peluang pekerjaan melalui perniagaan yang bakal diwujudkan serta menyumbang kepada masyarakat secara umumnya. 

Untuk memajukan ummah ,
syarat utama adalah dengan memajukan diri sendiri terlebih dahulu. 

Kejayaan keluarga ini adalah hasil dari usaha mereka biarpun kadang-kala tergelincir.

Namun mereka tetap istiqamah , hasilnya dalam masa 3 tahun mereka berjaya memiliki tabungan yang kebanyakan dari kita hanya mampu berangan untuk miliki.

Ini berlaku bukan secara kebetulan , saya boleh tunjukkan berpuluh testimoni dalam bentuk video , sms , what’sup , FB , chat , telegram dan sebagainya dari individu dan keluarga yang berjaya mengubah kehidupan mereka.

Bukan semua mahu menjadi kaya raya tetapi saya kira semua tidak mahu menjadi miskin.

Namun semua ini tidak berguna jika individu dan keluarga yang sedang menghadapi cabaran kewangan dan kehidupan hari ini tidak mahu bertindak. 

Masa untuk merungut dan menunding jari sambil menyalahkan pihak lain telah lama berakhir. 

Semuanya bertanggungjawab keatas apa sahaja tindakan dan perbuatan diri sendiri.

Terpulanglah pada diri kita apa bentuk perubahan yang ingin kita lakukan kerana untuk merubah dunia terlebih dahulu perlu mengubah diri.

Seperti kata Mahatma Ghandi

” Jadilah perubahan yang ingin kita lihat pada dunia” 

 

Pada yang masih bujang ,
inilah masa anda.

Jangan persiakan masa dan usia muda yang ada. 

Ini adalah peluang ketika sebelum mempunyai bermacam-macam bentuk beban.

Lagipun mana ada wanita yang mahukan suami yang sengkek kan?. 

Bagi wanita bujang pula,
apa persediaan kalian jika ditakdirkan hidup membujang tanpa suami ? 

Adakah anda punya bekalan kewangan di hari tua kelak tanpa suami dan anak-anak di sisi ? atau mungkin menghabiskan wang gaji bershopping lebih penting dari masa depan sendiri.

kewangan-peribadi

Apapun ,
semua ini merupakan satu pilihan. Saya hanya berperanan sebagai penunjuk arah sahaja.
Tiada siapa yang memaksa dan melarang.

Diri sendiri yang perlu melangkah dan memilih jalan dan bagi yang merasakan ini satu keutamaan dalam hidupnya akan mencari cara terbaik untuk berubah samaada dengan mencari Ilmu , berguru , masuk kelas , seminar dan sebagainya.

Manakala yang merasakan ini semua hanya hal dunia dan tidak penting dalam hidupnya akan segera mencari alasan untuk dijadikan justifikasi kemalasannya. 

Doa dan Pahala di hitung pada kapasiti individu bukannya pada jemaah. 

Waallahualam.

Artikel berkaitan

Nak beli kereta atau rumah dahulu?

nak-beli-rumah-atau-kereta-dahulu?

Kereta atau rumah ?

Ini persoalan yang sering diutarakan oleh anak muda hari ini dan baru-baru ni, saya ditemuramah oleh wartawan Suara Keadilan berkenaan dengan persoalan ini.

Tapi kadangkala saya malas nak layan temuduga wartawan.

Nak tahu kenapa?

Punyalah panjang lebar kita terangkan ,
akhirnya yang di keluar di Media ciput jer .

beli-rumah-atau-kereta-dahulu?

Intipati utamanya pun tak sampai , 
sebagai contoh saya nyatakan kos pengendalian sebuah kereta adalah dua kali ganda dari bayaran ansuran bulanan hutang kereta tersebut. 

Katakan bayaran ansuran bulanan kereta anda adalah sebanyak RM500 sebulan,
kos pengendalian kereta tersebut adalah sebanyak RM500 juga. 

Ini mengandaikan terdapat kos seperti minyak, tol, parking,  penyelenggaraan dan juga cukai serta insuran ke atas kereta tersebut yang perlu dibayar setiap tahun.

Tetapi sebaliknya berlaku.
Di dalam artikel tersebut, dinyatakan bahawa saya mengatakan 

“ansuran bulanan kereta sebanyak dua kali ganda”.

Walhal,
ansuran bulanan dan kos pengendalian adalah dua perkara berbeza.

Kalau beginilah laporan yang dikeluarkan,
mana tidaknya pembaca atau penonton media kadangkala boleh keliru atau kurang faham dengan topik tertentu.

Saya tak tahu ini memang agenda tersembunyi pengamal media atau memang tak reti nak sampaikan penerangan dengan jelas.

Bagi yang nak dengar temubual penuh ( tanpa edit) semasa saya di temubual oleh wartawan Suara Keadilan boleh dengar audio penuh di Youtube bawah ni.

Saya tak salahkan wartawan .

Yer la kadangkala pihak media mempunyai agenda atau polisi tertentu dalam mencorak berita atau maklumat yang ingin disampaikan kepada pembaca atau penonton.

Mereka ingin mempengaruhi pembaca / penonton tentang sesuatu topik mengikut kacamata atau acuan mereka mereka.

Kenapa ?

Waallahualam ,
hanya pengamal media sahaja yang boleh menjawabnya.

Artikel berkaitan

Tambah Pendapatan & Pelbagaikan Sumber Pendapatan

tambah-dan-pelbagaikan sumber pendaptan

Bagaimana saya tambah pendapatan dan pelbagaikan sumber pendapatan? . 

Soalan ni keluar bila pagi tadi saya ada bertanyakan kepada pembaca apa yang pembaca ingin tahu dari saya.

tambah-pendapatan-dan-pelbagaikan-sumber-pendapatan

Sebelum kita berbual lebih lanjut tentang sumber pendapatan saya , mari kita lihat dulu apa yang dimaksudkan dengan pelbagai sumber pendapatan.

Ianya adalah kaedah di mana ,
seseorang individu atau perniagaan memperoleh pendapatan dari berbagai sumber.

Maksudnya disini,
bukan dari sumber utama individu atau perniagaan tersebut. 

Sebagai contoh :-

Sumber pendapatan utama seorang guru adalah wang gaji yang diterima setiap bulan dari majikannya.

Namun, seorang guru juga boleh memperoleh pendapatan tambahan dari upah sebagai seorang tutor , elaun tambahan sebagai pemeriksa kertas peperiksaan , royalti dari buku yang diterbitkan.

Tambahan,
perniagaan sampingan dan banyak lagi aktiviti yang bersifat perniagaan.

Bagi sesebuah perniagaan,
misalnya perniagaan kedai runcit.
Sumber utamanya adalah menjual barangan runcit.

Namun,
pada waktu yang sama
boleh tambah sumber pendapatan lain dengan jadi agen sesuatu perkhidmatan seperti menjual topup , menjadi agen kepada perkhidmatan perbankan micro.

Boleh juga jadi pengedar kepada sesuatu produk dan perhidmatan atau kadangkala dikenali sebagai stokis.

Secara ringkas,
pelbagaikan sumber pendapatan dilakukan dengan memaksimakan penggunaan masa, tenaga, pengetahuan, kemahiran dan modal insan yang ada selain dari rangkain yang memang telah wujud dari awalnya. 

Sumber untuk pelbagaikan pendapatan tidak semestinya datang dari sumber atau corong yang baru.
Boleh juga dijana dari serpihan sumber yang sedia ada.

Bagaimana saya pelbagaikan sumber pendapatan saya?

Pertama sekali,
secara peribadi perlu saya tekankan yang saya tidak mempunyai pendapatan peribadi.

Semua pendapatan yang dihasilkan adalah melalui syarikat saya yang mempunyai pelbagai perniagaan.

Berikut adalah sumber pendapatan syarikat saya :

1. Pengurus Rumah Sewa

Aktiviti utama Urus Insan Sdn Bhd (UISB) adalah sebagai operator, pengurus dan penyelia rumah sewa di Kuala Lumpur dan sekitarnya.

2. Operator Rumah Tamu

Oleh kerana operasi utama UISB adalah berkaitan rumah sewa,
pada tahun ini ianya dikembangkan kepada operator rumah tamu.

Atau lebih dikenali sebagai homestay.

3. Renovasi Hartanah 

UISB mempunyai sebuah syarikat bersekutu yang terlibat di dalam perniagaan restorasi dan renovasi hartanah.

Secara alaminya turut juga menjalankan aktiviti hiasan dalaman.

4. Media & Pengiklanan

Aktiviti-aktiviti diatas turut di dokong dengan aktiviti atas talian.

Contohnya, promosi dan pengiklanan. Oleh yang demikian Urus Insan Media dibangunkan sebagai sebuah jabatan dan akhirnya akan di “spin off” sebagai sebuah syarikat.

Anak syarikat ini akan menjalankan perniagaan sokongan atas talian meliputi pemasaran dan pengiklanan. 

Pada suku pertama tahun 2019 menyaksikan jabatan ini menghasilkan jualan sebanyak RM130K dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini.

5. Penerbitan Digital

Selain pemasaran dan jualan ,
UI Media turut menghasilkan produk seperti buku, video dan kandungan digital untuk kegunaan UISB dan syarikat sekutunya.

6. Pendidikan Kewangan

UISB juga turut sama menyokong aktiviti pendidikan kewangan kepada umum melalui portal urusinsan.info.

Selain itu,
produk dan siri penganjuran seminar, kelas, Group Coaching dan sesi 1 on 1 yang dikendalikan oleh saya sendiri.

7. Komuniti Ahli Urusinsan

Buat masa ini perkhidmatan UISB dan syarikat sekutunya masih tertutup dan hanya ditawarkan kepada ahli urusinsan sahaja.

Ia tidak dibuka kepada umum atas kekangan sumber kakitangan sedia ada.

Saya sangat sarankan anda pelbagaikan sumber pendapatan.

Semua ini boleh dipelajari , tiada alasan kenapa ianya tidak mampu dilakukan.

Semua orang ada modal yang boleh digunakan untuk menjana pelbagai jenis pendapatan. 

Bermula dengan minat, diikuti dengan usaha mencari guru atau mentor yang boleh tunjukkan jalan atau memberi idea bagaimana untuk bermula .

Boleh masuk kelas , hadiri seminar , baca buku atau personal coaching bersama guru yang boleh membimbing. 

Jika ianya memerlukan kemahiran teknik boleh hadiri kursus jangka pendek atau sederhana untuk memiliki kemahiran yang diperlukan.

Kalau kita tidak mahu pelbagaikan sumber pendapatan,
kita juga boleh meningkatkan pendapatan dengan pekerjaan sedia ada.

tambah-pendapatan-dan-pelbagaikan-sumber-pendapatan

Caranya adalah tingkatkan kemahiran dalam bidang pengkhususan dalam organisasi yang sama. 

Kita boleh melanjutkan pelajaran misalnya ke diploma , ijazah , masters mahupun PHD dalam bidang atau kerjaya kita sekarang.

Jadi pakar dalam bidang yang kita ceburi , 
jadikan diri kita “indispensible” atau seorang sangat penting dalam satu-satu organisasi atas kapasiti kepakaran yang kita miliki.

Jika anda mencari kelas atau panduan, 
salah satu caranya ialah dengan menghadiri sesi group coaching bersama saya.

Bagusnya Group Coaching ni,
anda akan dapat input daripada peserta lain juga. 

Disamping daripada persoalan anda, saya juga akan cuba cungkil potensi untuk bagaimana tambah pendapatan yang sesuai dengan diri anda.

Maklumat lanjut kelas adalah seperti berikut :

  • 1 September 2019 (Ahad)
  • Dewan Ilmu Urusinsan , 
    Jalan Gurney , Kuala Lumpur 
  • Tempat terhad kepada 30 peserta sahaja.

Untuk maklumat lanjut sila klik butang dibawah :

Saya jumpa anda di Group Coaching ni nanti.

Artikel berkaitan

Guru Golongan Paling Rentan

Dari pengalaman saya (En. Zaidi Ismail) mengendalikan kes kewangan dan sesi analisa kewangan, didalam sektor awam golongan yang paling rentan adalah GURU. Mungkin disebabkan oleh keadaan ruang lingkup pekerjaannya (seperti banduan dalam penjara) golongan ini terlalu bergantung kepada rakan sekerja yang lain untuk dijadikan tauladan (role model). Bukan semua GURU tetapi ada diantaranya:

  1. Tukar kereta baru yang tidak mampu apabila rakan lain tukar kereta baru, nanti takut kena kutuk dan diperli oleh rakan sejawat.
  2. Ambil pembiayaan peribadi sehingga berkali-kali (overlap) kerana di syorkan oleh rakan sejawat, mudah, pantas dan tuntas sehingga lemas untuk membayarnya setelah gaji habis dipotong setiap bulan.
  3. Beli rumah di kampung sebab golongan ini adalah antara yang paling kerap bertukar lokasi pekerjaan, takut takda rumah, maka beli rumah terlalu awal di kampung tanpa berpenghuni kerana dipengaruhi oleh rakan sejawat atau di momokkan oleh ahli keluarga konon nanti tidak boleh memiliki rumah sendiri tanpa disedari harta yang ingin dimiliki tapi beban yang dikumpul.
  4. Menggunakan kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA terlalu awal bukan sahaja menyebabkan kehilangan kuota pembiayaan perumahan 90% -100% untuk empat (4) buah hartanah malah kerugian dari segi nilai hartanah yang boleh dibeli.
  5. Masuk skim cepat kaya dan pelbagai lagi skim mengarut yang diperkenalkan oleh rakan sejawat atau orang sekeliling yang mengambil kesempatan atas kenaifan diri seorang GURU.

Ini cuma sebahagian kecil kesilapan yang sering dilakukan oleh golongan GURU disebabkan oleh kurang pendedahan, persekitaran yang tidak menyokong (ikut apa yang orang lain terdahulu buat) dan pengaruh rakan sejawat. Situasi ini diburukkan lagi dengan ekspektasi atau harapan orang sekeliling yang kononnya GURU bergaji besar dan dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling.

 

 

 

Adakah anda biasa dengan situasi dan keadaan ini atau anda sendiri seorang GURU yang sedang berada di dalam situasi seperti ini? Apa yang boleh anda lakukan untuk berubah? Apa potensi kewangan anda sebagai seorang GURU?

  • Mudah untuk meningkatkan pendapatan dengan kemahiran sedia ada.
  • Mudah membina dan mengumpul harta dengan kemudahan pembiayaan yang disediakan untuk anda sebagai seorang guru.
  • Mudah untuk anda bersara awal berbanding dengan penjawat awam yang lain.
  • Lebih mudah untuk melangsaikan hutang berbanding dengan mereka yang bukan penjawat awam.

Walaubagaimanapun, ini cuma sebahagian kecil dari potensi anda sebagai seorang GURU di dalam perkhidmatan awam. Anda kenal rakan atau saudara mara seorang GURU? Sila kongsikan artikel ini kepada mereka, saya mempunyai solusi khusus untuk cabaran dan masalah kewangan yang mungkin sedang mereka hadapi. Sila klik salah satu link program di bawah jika berminat untuk mengetahui solusi yang saya maksudkan.

Nota:
*Rentan = terdedah / lemah / mudah terpengaruh / diambil kesempatan (vulnerable).

Artikel berkaitan