Ramai sebenarnya saya percaya sudah sedar keperluan dalam pengurusan kewangan keluarga atau peribadi, namun pasti ada sahaja halangan yang menyebabkan anda takut nak buat keputusan atau asyik dengan keputusan yang salah. Terdapat 2 perkara utama yang harus dibuang jauh-jauh jika anda ingin mengembangkan potensi sebenar diri masing-masing!
1) Malas Yang Berlarutan
Sifat malas berpunca dari dua sebab utama, pertama disebabkan objektif hidup yang diletakkan terlalu kecil; dan kedua kerana faktor pendorong dalam melaksanakan sesuatu perkara bukanlah daripada diri sendiri.
Jika diamati faktor pertama, objektif hidup adalah sebenarnya satu keperluan mendesak. Namun, tidak semua yang meletakkan objektif dalam menentukan perjalanan kehidupannya untuk masa hadapan. Bahasa mudahnya “Just follow the flow!”
Itu adalah golongan yang paling rugi! Dalam masa yang sama sesetengah ada yang memiliki objektif hidup tetapi terlalu kecil, juga dalam kalangan mereka yang rugi! Kehadiran golongan ini lebih berbahaya kerana bagi mereka sekurangnya mereka memiliki objektif daripada yang tak ada langsung
Jika anda tidak memindahkan faktor program kepada diri sendiri, sudah tentu selepas 2 atau 3 hari maka hilanglah ‘nyawa’ anda. Begitu juga yang dihadapi orang yang nekad berhenti rokok kerana seorang ‘GF’, apa akan berlaku selepas ‘break-up’?
Diamati sedalam-dalamnya, tiada masalah untuk memulakan sesuatu dengan dorongan luaran tetapi anda harus cepat-cepat mengubah dorongan itu kepada diri sendiri sebelum hilang dorongan luaran. Tidak salah mengambil semangat daripada Ikon seperti Jack Ma, Elon Musk, atau sesiapa sahaja tetapi anda harus mengedepankan diri sendiri pada suatu masa.
2) Emosi Yang Tak Terkawal
Emosi adalah sesuatu fitrah, tanpa emosi itu sudah jadi seperi robot atau mesin. Sedangkan haiwan juga punya emosi, begitulah juga manusia. Dalam masa yang sama, manusia diberikan aqal yang membolehkannya berfikir tidak seperti haiwan yang bertindak dengan naluri.
Pertama sekali anda harus menerima kewujudan emosi, tiada siapa yang boleh menolak keadaan marah, sedih, gembira dan lain-lain. Tetapi ada dalam kalangan yang jadi tak keruan apabila diri sendiri beremosi atau melihat orang yang beremosi, ini adalah sesuatu yang melanggar fitrah
Kedua dan yang lebih utama daripada semua ini adalah anda perlu jadi seorang manusia, emosi ini harus diurus dengan akal dan bukan semata naluri. Jika anda sedang beremosi atau melihat seseorang yang beremosi, seseorang itu harus bertindak dengan cermat yang tidak akan mendatangkan kemudaratan.
Daripada Abu Hurairah r.a.:
Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda:Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.
Hadith ini perlu diperjelas dengan huraian yang benar, adakah Rasulullah melarang manusia melakukan sesuatu yang merupakan fitrahnya? Sudah tentunya tidak, dijelaskan makna “Jangan Marah” adalah tidak membuat sesuatu ‘follow up’ atau tindakan yang memudaratkan selepas hadirnya perasaan marah.
Manusia boleh marah, sedih, gembira, dan sebagainya selagi tidak disusuli dengan tindakan yang memudaratkan. Sebagai contohnya, perasaan gembira menang tender jangan pula diraikan dengan makanan-makanan yang boleh memudaratkan kesihatan, dengan perasaan sedih diuji banjir besar jangan pula disusuli dengan menjauhkan diri sehingga membawa kemurungan.
Begitulah emosi ini diraikan, ia tetap wujud dan ada tetapi akal yang harus menentukan respon yang paling cermat supaya ia ditujukan bukan pada perkara yang merosakkan. Dengan wujudnya pasangan akal dan emosi, sudah pasti anda tidak membuang banyak potensi dalam diri dek ketika gembira mahupun sedih.