Skip to content

7 Tip Didik Anak Untuk Ibubapa Yang Sibuk

kerja-vs-surirumah

Tip didik anak ni adalah merupakan perkongsian daripada Puan Nor Fazilah Abd Mohd ahli urusinsan yang merupakan seorang bekas guru. Beliau bersama suami juga merupakan pengasas dan pengusaha Minyak Asmak yang berjaya. 

Berikut adalah perkongsian pengalaman beliau mendidik anak-anak khusus untuk ibu bapa bekerjaya yang sibuk.

Saya bekas guru yang berada dalam bidang perguruan selama 15 tahun (12 tahun di sekolah + 3 tahun jadi guru pelatih) dan ibu kepada 5 anak yang berusia 3 tahun-12 tahun.

Boleh jadi saya bukanlah orang yang layak untuk berkongsi tip ini dan boleh jadi juga tip ini berguna kepada anda. Jika baik,silakan ambil,jika tidak abaikan. 

kerja-vs-surirumah

1. Bekerja vs Surirumah ; Kualiti vs Kuantiti

 

Walaupun anda bekerja, tidak semestinya anda tidak boleh meluangkan masa dengan anak anda. Ia bukan tentang berapa banyak masa anda dengan anak anda, tetapi berapa banyak masa berkualiti yang anda mampu beri kepada anak anda.

Ada ibu yang duduk di rumah tetapi 24 jam sibuk dengan urusan rumahtangga dan berkepit dengan handphone, jadi apa sangat beza dengan anda yang bekerja 9am-5pm pulang ke rumah dan uruskan rumahtangga dan anak-anak?

Tidak dinafikan ada surirumah yang bijak menguruskan masa dan meluangkan masa berkualiti yang banyak dengan anak mereka,tahniah.Tapi tujuan penulisan ini untuk memberi semangat kepada mereka yang bekerja tapi mengatakan tiada masa.

2. Susun Jadual

 Anda harus tahu waktu anda perlu komited dengan kerja. Pastikan hal kerja habis di tempat kerja. Semaksimum yang boleh, selesaikan hal kerja di tempat kerja sahaja kecuali terdesak. Anda harus bertegas yang waktu kerja untuk buat kerja dan bila pulang ke rumah, anda adalah milik suami dan anak-anak. 
 
Rancang masa anda untuk menguruskan hal rumahtangga dan jika boleh buat bersama-sama. Jadikan aktiviti menguruskan rumahtangga itu sesuatu yang menyeronokkan.

Jika anak sudah besar sedikit, ajak mereka membantu bersama-sama. Sambil itu boleh berbual-bual. Bayangkan sambil memasak, sambil melipat pakaian, dan mengemas rumah, anda boleh berinteraksi dengan mereka. Ikatan kekeluargaan pun bertambah erat. 

Bayangkan anda yang sibuk, tapi tetap ada masa berkualti 1-2 jam sehari buat anak, best sangat kan? Waktu itulah anda bersembang dari hati ke hati, bacakan anak buku, dan macam-macam lagi. Berbanding dengan mengadap anak 24 jam tapi sibuk. Waktu yang berkualiti itu tersangatlah berharga buat anak-anak.
pengurusan-masa

3. Pengurusan Masa Berkualiti

Selepas semua urusan selesai, anda harus cari peluang untuk keluarga anda agar dapat menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Di rumah kami memang ada bilik khas untuk solat, mengaji, membaca buku dan sebagainya.

Dulu ianya pernah meriah antara waktu Maghrib ke Isyak, tapi tak dinafikan adakalanya ianya sunyi memandangkan anak-anak pun dah tinggal di asrama dan kami juga kadangkala lewat balik ke rumah.

Pastikan anda semak bacaan solat anak anda, cara mereka mengambil wudhu dan mengerjakan solat. Usah serahkan pada guru mereka semata-mata. Saya berbangga sebab anak-anak saya pandai Al Fatihah dulu dari saya. 

Bayangkan sehari berapa kali mereka baca Al Fatihah, pahala mengalir kepada kita sebagai “guru pertama” mereka. Bukan al Fatihah sahaja, jika boleh biarlah pandai mengaji dan solat pun dari kita juga. 

4. Aktiviti Untuk Masa Berkualiti

Apa yang anda boleh lakukan bersama sebenarnya? Saya pecahkan kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama anda membuat kerja rumah bersama.

Bahagian kedua, mengerjakan ibadah bersama. Di saat menunggu solat Isyak,anda boleh bagi tazkirah pada anak-anak, minta anak bacakan kisah nabi, selang seli dengan buku adab dan akhlak, hadis dan sebagainya-buat secara berkala. Buku-buku yang saya beli sangat membantu pengisian ini.

Di rumah saya memang ada “mini library” dan rak buku di mana-mana. Antaranya di ruang tamu, di bilik solat dan di bilik tidur. Ini akan mewujudkan suasana suka membaca. Tapi ia tidak akan berlaku jika kita tidak menggalakkan mereka. 

Malah ada masa kita perlu memaksa. Boleh minta mereka mencatat bilangan buku yang dibaca, lengkap dengan tajuk dan hari/tarikh. Mereka akan berebut bila kita kata akan bagi hadiah pada mereka yang paling banyak membaca. 

Saya dah pernah mencubanya dan ia berhasil. Ramai ibu bapa hari ini berebut nak tunjuk anak mereka pandai baca seawal usi 3-5 tahun, tetapi berapa ramai yang berjaya membuatkan anak mereka jadi ulat buku pula ? Bagi anak pandai baca tak sesusah nak bagi mereka cintakan buku dan ilmu.

Fikir-fikirkanlah.

Bahagian seterusnya ialah dengan membawa mereka berjalan sekali-sekala ke tempat yang ada aktiviti dan meninggalkan memori kepada mereka. 

Kami ibubapa yang suka melayan zaman kanak-kanak anak kami. Jika masa terhad, kami sekadar bawa mereka memancing, menjala ikan, mandi sungai, air terjun dan kolam air panas terdekat.

Jika ada masa sesuai, kami bawa mereka jauh sedikit ke lokasi yang terletak di negeri-negeri lain. Kami percaya, luas pemandangan anak-anak, luaslah pengalaman dan pengetahuan mereka.

Kami sangat kerap membawa anak-anak ini mengembara dan bermusafir. Jika kurang mampu, boleh sahaja pergi ke kawasan yang berhampiran, pantai-pantai, hutan dan menjelajah alam semulajadi. Anak-anak kami direzekikan mengerjakan umrah di waktu muda,Alhamdulillah.

 

5. Kenali Rakan Anak Anda

 

Anda perlu tahu dengan siapa anak anda berkawan dan bagaimana sikap mereka. Saya sangat tegas ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan akan melarang keras mereka berkawan dengan mereka yang bermasalah.

Ini penting sangat sebab siapa kawan anak kita, itulah diri mereka nanti. Anak saya sebenarnya kurang sangat kawan sebab mereka lebih rapat dengan kami. Segala masalah mereka dan luahan hati akan diberitahu kepada kami.

Awas jika anak anda lebih rapat dengan kawan mereka, anda bukan lagi tempat mereka mengadu. Bayangkan jika mereka tersalah terima nasihat dari rakan mereka yang bermasalah? Tak dapat dibayangkan bukan ?

Selalulah ajar anak untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Kita tak dapat nak ubah anak orang, tapi kita mampu mengubah anak kita bukan ? 

Sebagai contoh, bila anak saya mengadu dia diejek, saya minta dia supaya jangan endahkan dan jangan balas, lama-lama orang yang mengejek akan diam. 

Ini memang masalah besar bagi sesetengah murid, jika berterusan juga, silalah ambil tindakan yang sewajarnya dengan mengadu pada guru sebab benda yang kita sangka kecil boleh menggangu emosi dan mental anak-anak sehingga dewasa !

6. Berbaiklah Dengan Guru Yang Mengajar Anak Anda

Anda perlu tahu siapa guru kelas mereka dan siapa yang mengajar anak anda. Sebagai bekas guru, suka saya kongsikan yang saya sangat suka bila ada ibu bapa yang sentiasa call/sms atau whatsapp bertanyakan anak mereka.Ianya sangat menggembirakan.

Itulah masa untuk saya memberitahu ibu bapa mereka perkembangan anak mereka dan apa yang mereka boleh bantu di rumah.

Malangnya ini sangat jarang berlaku. 

Anda sebagai ibu bapa ada hak untuk mengetahui perkembangan anak anda. Pastikan anda ada no telefon guru anak anda, dan jika ada group whatsapp ibubapa-guru tersangatlah bagus. Gunakan medium itu semaksimum yang boleh untuk mengetahui perkembangan anak.

Jika ingin bertanya perkembangan anak, elok sahaja PM tepi. Oh ye, kalau nak harap tanya semasa hari penyerahan buku rekod, guru tertakluk dengan arahan “cerita yang positif dan beri semangat sahaja”- tak pastilah semua sekolah atau tidak. Tapi kami dulu dilarang keras memberi feedback negatif tentang murid pada ibubapa.

Mungkin tujuannya untuk menjaga perasaan ibu bapa atau guru perlu kreatif dalam menyampaikan feedback agar tiada hati yang terguris. Entahlah, saya kurang pasti. 

Tapi saya sentiasa cuba jujur dengan ibubapa yang hadir sebab saya tak suka nak bermanis mulut dan saya nak mereka berpijak di bumi nyata. Solusi dan kata-kata semangat juga diberi. 

Mulai hari ini buang rasa segan, malu atau takut menyusahkan guru jika anda bertanya kepada mereka tentang anak anda. Itu adalah HAK anda dan anda WAJIB tahu.

Jika jawapan ala kadar,itu menunjukkan guru tersebut kurang cakna dengan anak muridnya. Bukan nak cakap besar, tapi nak jadikan panduan untuk anda ; saya dulu boleh bercerita detail tentang anak-anak murid yang saya ajar kalau ibubapa mereka bertanya siap dengan perincian lagi. 

7. Jaga Hubungan Dengan Allah

Selepas kita dah usaha, haruslah kita sentiasa tekun dalam menjaga hubungan dengan Allah swt. Sebaiknya sebelum melakukan sesuatu kita sudah berdoa. Sentiasa meminta kepada Allah agar anak-anak kita menjadi anak-anak soleh dan solehah yang bersopan santun, berakhlak mulia, beradab, berilmu dan dipermudahkan urusan dan berjaya dunia akhirat.

Doakan kawan-kawan mereka, doakan guru-guru mereka.

Bila orang sekeliling semua baik, insyaAllah anak-anak kita akan membesar menjadi anak yang baik. Persekitaran juga memainkan peranan dalam pembesaran anak-anak kita. 

Anda juga boleh bergabung dengan jiran anda untuk mewujudkan aktiviti dengan anak-anak. Alhamdulilah saya ada jiran yang baik yang selalu buat usrah dan diselang seli dengan aktiviti untuk anak-anak.

InsyaAllah kami juga merancang untuk bergilir buat aktiviti untuk anak di rumah dengan menggunakan kepakaran masing-masing.

Sebagai contoh,aktiviti di rumah A – anak-anak berkumpul dan belajar tentang solat, di rumah B belajar mengaji , di rumah C mendengar kisah nabi , bercerita dan motivasi.

Malangnya tak sempat nak perkemaskan sebab anak-anak kami berjauhan. Tapi saya sedang usahakan untuk buat program membaca dan motivasi berterusan di tahfiz anak saya, doakan ianya dipermudahkan insyaAllah.

Sekian tip dari saya untuk anda, ibu bapa yang sibuk.

Sekiranya ada yang nak perbetulkan, nak tambah dan sebagainya, amat saya alu-alukan.

Semoga memberi manfaat dan berguna kepada anda dalam kehidupan seharian yang semakin mencabar ini.

Saya percaya jika ibu bapa sebagai “guru pertama” anak-anak memainkan peranan yang betul, pasti segala masalah sosial anak-anak muda pada hari ini dapat dibendung. Kami pun bukanlah sempurna, tapi kami cuba untuk melakukan yang terbaik, insyaAllah.

 
Sila share jika rasa ianya bermanfaat.
Sharing By Nfam ( Nor Fazilah Abd Mohd)
 

Artikel berkaitan

Pilih Tarikh Artikel Diterbitkan
Duit-Ringgit-Malaysia-1

3 Cara Mudah Untuk Tambah Income Yang Anda Mungkin Terlepas Pandang

Ada banyak cara untuk tambah pendapatan. Dari pelaburan saham, real-estate investment, perniagaan, jadi founder produk dan macam-macam lagi. Namun semua...
girl-showing-three-finger-salute-hand-gesture_23-2147873653

3 Cara Untuk Kekal Motivasi Untuk Tingkatkan Kewangan

Tahun baru bermula, ramai bersemangat untuk berubah. Namun, semangat itu kadangkala ada pasang surutnya. Bagaimana untuk terus kekal bermotivasi? Lakukan...
kurangkan-ansuran-bulanan

Tip Power Kurangkan Ansuran Bulanan Kenderaan

Kenapa pula kita nak kurangkan ansuran bulanan kenderaan? Terdapat banyak sebab dan antaranya ialah kerana : Apabila ingin menambah baik...
kos-sara-hidup

Cara Ini Pun Boleh Atasi Kenaikan Kos Sara Hidup

Heboh satu Malaysia tentang kos barangan dan perkhidmatan yang terus meningkat berkali ganda . Ketika perkara ini berlaku , seperti...
coins-5790121_1920

Bagaimana Untuk Dapatkan Wang Tambahan RM1,000 Bulan Ini?

Semua orang mahu kaya. Namun, adakah usaha dan impian seiring? Anda mungkin seorang peniaga. Atau seorang pekerja dengan income tetap...