Skip to content

6 Tahap Kebebasan Kewangan Yang Realistik

Bila anda terdengar atau terbaca pasal bebas kewangan (Financial Freedom), apa yang anda bayangkan?

Kebanyakan kita mungkin gambarkan bahawa orang yang bebas kewangan ni kaya gila atau bersara awal kan? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

Setiap orang mempunyai definisi yang berbeza. Ini kerana setiap daripada kita mempunyai masalah yang berbeza dan prioriti yang berbeza.

Apa yang boleh saya katakan, bebas kewangan adalah satu misi yang besar dan perjalanan yang sangat lama. Oleh itu, jangan terburu-buru. Anggap ia satu marathon, bukan seperti larian pecut. Misi ini perlukan stamina untuk terus konsisten.

Berikut saya pecahkan kepada 7 tingkatan atau tahap bebas kewangan. Dengan ini, ia memudahkan anda untuk capai bebas kewangan ikut definisi atau tahap yang anda mampu.

 

Tahap 1 : Jangan Hidup Untuk Bayar Hutang Semata

Realiti hidup hari ini adalah kita semua ada hutang. Hutang pun ada dua, hutang jahat dan hutang baik. Anda tidak akan dapat buat simpanan yang konsisten atau banyak jika anda dibelenggu hutang jahat. Jadi, misi pertama anda yang perlu anda lakukan adalah tetapkan target untuk hapuskan hutang-hutang jahat anda.

Percayalah, anda akan rasa perbezaan yang luar biasa dalam membuat simpanan.

 

Tahap 2 : Lebihan Duit Setelah Berbelanja

Amalan yang kebanyakan orang buat adalah berbelanja dahulu, baru menyimpan. Tak salah tapi ada cara yang lebih baik iaitu simpan dahulu barulah belanja.

Kalau anda dah selesaikan hutang jahat anda (Tahap 1), saya yakin anda ada kekuatan atau kelebihan untuk simpan dahulu baru berbelanja kan? Kalau tak boleh juga, ini bermakna anda ada masalah ego untuk menyimpan. Selagi tak selesai masalah ni, sukar untuk anda ke tahap seterusnya.

 

Tahap 3 : Cukup Duit Untuk Jadikan Kerja Sebagai Pilihan

Bebas kewangan tidak semestinya berhenti kerja. Berhenti kerja adalah satu tindakan yang agresif. Definisi yang lebih tepat adalah menjadikan kerjaya sebagai pilihan, bukan paksaan. Dengan ini, anda akan mempunyai emosi yang positif untuk bekerja kerana tidak terikat atau tertekan memikirkan bila gaji nak masuk setiap bulan.

Orang biasa akan gunakan gaji untuk tanggung perbelanjaan mereka. Orang luar biasa tidak menggunakan duit gaji mereka. Inilah yang menyebabkan kerjaya mereka sebagai pilihan atau passion.

Habis tu, dari mana mereka dapat duit kalau tak usik duit gaji?

Sudah semestinya kerja-kerja atau perniagaan sampingan. Ada juga yang buat pelaburan hartanah sebagai pendapatan sampingan mereka melalui sewaan rumah.

 

Tahap 4 : Kebebasan Masa

Kebanyakan orang memang menginginkan kebebasan masa dalam jadualnya. Bak orang putih kata meninggalkan rat race yang buatkan diri tertekan.

Pada tahap ini, ia berbeza dengan kebebasan masa orang yang tidak berbuat apa-apa. Kebebasan masa ketika ini adalah kebebasan untuk luangkan masa dengan keluarga dan lakukan hobi atau minat disamping masih ada pendapatan yang masuk.

 

Tahap 5 : Cukup-cukup Untuk Bersara

Anda pernah jumpa dengan orang yang betul-betul tidak suka kerjanya tapi masih terus bekerja kerana ada tanggungan yang perlu diberi suap. Mereka ini sanggup berbuat apa sahaja asalkan dapat percepatkan proses untuk berhenti kerja seperti menyimpan duit secara sungguh-sungguh.

Hatta, mereka juga sanggup untuk mengurangkan gaya hidup mereka dengan menjual segala benda yang menjadi liabiliti mereka.

Benci akan kerja yang anda lakukan tidak digalakkan. Namun, jika anda ada keazaman untuk bersara lebih awal, buat perkiraan betul-betul untuk tahu berapakah simpanan yang minimum anda perlukan untuk bersara.

Tip nya adalah pastikan dana persaraan anda mampu tanggung perbelanjaan anda tanpa putus. Biar duit bekerja untuk beri anda duit.

 

Tahap 6 : Bersara Dengan Selesa & Tenang

Jika tahap sebelum ini hanya tanggung perbelanjaan anda sahaja. pada tahap ini pula adalah dana persaraan yang mampu berikan anda sama seperti gaji bulanan anda sebelum ini.

Kesimpulannya, walau apa jua latarbelakang anda, anda tetap boleh capai kebebasan kewangan. Ukur pada badan sendiri dan lihat anda patut kejar tahap yang mana dulu. Untuk bebas kewangan tu terlalu besar, jadi saya pecahkan kepada langkah yang paling kecil sehinggalah yang paling besar. Apa-apakan, anda tetap kena mula langkah awal juga untuk capai impian yang lebih besar.

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment