Mengapa Perlukan Masa untuk Kaya?

Jika anda anti kepada mana-mana ‘skim cepat kaya’, anda berada pada tulisan yang tepat! Saya akan huraikan mengapa tidak wujud langsung skim-skim seperti itu atas dua (2) sebab di bawah!

 

1) Mengawal Emosi Bukan Murah

Ramai orang yang mengukur kekayaan dengan sejumlah jumlah wang/harta yang sedang dimiliki pada masa tertentu, namun hakikat yang pahit adalah ini merupakan satu ajaran sesat yang perlu ditentang habis habisan.


Nilai sebenar kekayaan juga tidak diukur dengan ‘aset’ semasa kerana ini juga satu bentuk penyelewengan dalam pengurusan kewangan. Berapa ramai hari ini apabila beli rumah sudah dikira membeli aset sedangkan yang dibeli untuk dihuni bukan disewakan bagi menambah pendapatan (rujuk Artikel: Berhutang untuk Survive:Patutkah? untuk mendapatkan maksud pada kenyataan di atas).


Jadi, apakah nilai kekayaan sebenar? Seseorang yang kaya adalah mereka yang akan sentiasa memiliki jiwa yang tenang dan tenteram dalam menghadapi dua (2) situasi ini; (1) ketika mendapat keuntungan dia tidak merasa ‘lupa diri’ dan (2) tidak melatah apabila berhadapan kerugian.


Ketenangan ini muncul dalam jiwa adalah kerana; (1) dalam keadaan mendapat keuntungan beliau yakin bahawa ini hanyalah satu objektif kecil dalam mencapai objektif yang lebih besar, maka apa erti bagi seseorang yang ingin memenangi larian Marathon dengan sudah berbangga apabila beliau hanya baru membeli kasut?


Dalam situasi (2) kedua apabila berhadapan kerugian, tidak perlu ada kesedihan atau kerisauan kerana beliau yakin bahawa dengan kemahiran yang sudah digarap pasti kekayaan akan didapatkan semula. Sampai di sini, adakah anda sudah dapat hubungkan penjelasan ini dengan tajuk di atas?


Bagi sesetengah orang apabila memiliki RM100 pasti sudah gembira, dan ada yang kerugian RM100 terus jadi tak keruan. Ini adalah bentuk minda yang disebutkan di atas, ciri-ciri bagi orang yang belum mendapatkan jiwa ‘orang kaya sebenar’. Jiwa yang penuh dengan optimis dan penuh tenteram.


Jadi mengapa seseorang sudah gembira dengan RM100? Sudah pasti kerana itu adalah kemahiran maksimum yang dimiliki sedangkan bagi mereka yang punya kemahiran yang boleh menjelmakan RM1000 apalah sangat RM100 untuk membuatkannya ‘lupa diri’? (nota: bukan merujuk pada sikap riak)


Seperti itu juga bagi mereka yang sudah biasa kerugian RM1000, apalah sangat rasanya rugi RM100? Amat janggal jika itu dapat menyedihkannya, ini secara tidak langsung memberikan kita gambaran minda seorang yang kaya!


Jadi, kekayaan itu letaknya pada emosi!! Maka, adakah setahun sudah cukup untuk seseorang mengawal emosi seperti ini? Jawapannya adalah MUSTAHIL! Kerana itulah saya sebutkan bahawa jika anda jadi ‘kaya’ dalam tempoh terdekat, maka sudah tentu sukar bagi mengawal emosi untuk sentiasa optimis dalam berhadapan sama ada kejayaan atau kegagalan.

 

 

2) Pengalaman Tidak Dijual Di Mana-Mana Pasaraya

Selain faktor pertama disebutkan di atas, faktor kedua ini tidak kurang mahalnya kerana faktor ini juga akan menentukan seberapa lama anda mampu kekal kaya. Hakikat dalam mengekalkan kekayaan sebenarnya adalah jauh lebih sukar daripada pertama kali mengecapinya.


Pengalaman memberikan seseorang tiga (3) kelebihan; (1) mengenali kawan dan lawan, (2) menguasai realiti dengan baik, dan (3) membezakan perkara remeh temeh dan perkara besar. Ketiga-tiga perkara ini secara tidak langsung akan dapat dicapai tanpa pengalaman.


Hasil kekayaan yang diusahakan bersama seringkali berlaku ‘rompakan’ oleh pihak yang satu lagi (dalam kebanyakan kes adalah rakan kongsi). Perkara serius ini sering berlaku dan akibat buruknya adalah memutuskan persahabatan yang kadang itu sudah terjalin dari zaman persekolahan lagi.


Maka bagaimana seseorang yang tiada pengalaman boleh menjamin diri mereka dapat memilih rakan kongsi dengan tepat, mengetahui ciri-ciri dan sebagainya? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Sanggupkah anda menjadi kaya tapi terus jatuh muflis?


Jika jawapan anda tidak, maka anda perlukan pengalaman! Jadi bagaimana untuk mendapatkan pengalaman tanpa pernah menghadapi kerugian? Sudah tentu anda harus hadapi kerugian tetapi yang utama anda harus berada pada tahap minda yang disebutkan pada perkara pertama di atas (nota:bukan merujuk pada pasrah tanpa usaha).


Kedua, pengalaman dapat memberikan seseorang membezakan sesuatu yang bersifat teori dan realiti. Sebagai contoh jika anda di sogokkan dengan satu skim pelaburan hartanah dengan sekian-sekian keuntungan apabila disewakan nanti, apakah anda akan terus yakin?


Secara teori mungkin nampak mudah, beli rumah dengan pembiayaan bank kemudian sewakan dengan bayaran yang lebih sedikit daripada bayaran bulanan yang dibuat pada bank dan anda akan terus menjana keuntungan setiap bulan. Namun realiti tidak semudah itu!


Bagaimana nak tentukan lokasi, jenis kediaman, jenis pembiayaan, dan paling penting jika semua itu lengkap bagaimana nak pastikan penyewa dipilih akan sentiasa membayar sewanya, maka bagaimana nak kaya tanpa anda menguasai semua realiti ini? 


Dan yang ketiga pengalaman mampu membezakan sesuatu perkara yang remeh dan besar. Perkara ini merupakan satu indikator kematangan bagi seseorang, contohnya dalam situasi pelanggan yang terus menerus memberikan hamburan dan cacian, apa reaksi yang terbaik?


Bagi seorang yang tiada pengalaman, belum pernah dicaci dan dihina sebegitu,  sudah pasti akan melatah dengan perkara negatif. Ya, jangka pendek pasti dipenuhi dengan kepuasan, namun bagaimana dengan pelanggan anda yang hilang?

 

 

Kesimpulan

Tuntasnya tiada istilah ‘cepat kaya’ melainkan ‘kekayaan sementara’. Seseorang usahawan contohnya tidak hanya memikirkan berapa pendapatan syarikatnya pada tahun tersebut, tetapi di manakah kedudukannya dalam 10 tahun lagi!

 

Ini adalah simulasi bagaimana yang saya maksudkan kekayaan adalah bermula dengan emosi yang dapat dikawal dan pengalaman yang luas, dua syarat dan keadaan ini memastikan tidak ada lagi mereka yang hanya jadi kaya dalam sesuatu tempoh kemudian jatuh muflis!

Kami menyediakan sesi sesi coaching 1 on untuk mendapatkan tips berpandukan situasi anda!  klik link http://www.kursusforensikwang.com!