Menjawab Misteri Kehilangan Makhluk Bernama Duit

 

Satu bentuk pengurusan kewangan yang paling penting adalah menguruskan satu aset cair yang dinamakan duit, disebabkan fungsinya yang sangat mudah cair adakah perbelanjaan juga akan ‘mencair’? Saya akan kongsikan bagaimana prinsip-prinsip asas yang wajib dipegang bila anda memegang makhluk yang bernama duit ini.

 

1) Catat Setiap Pembelian Yang Dibuat

Perkara pertama ini adalah antara yang susah dibuat terutama bagi mereka yang ada perasaan selesa dengan kemampuan kewangan semasa. Bagi saya perkara ini wajib dibuat oleh semua sebenarnya kerana ini adalah disiplin asas bukan sekadar menyelamatkan bila berlaku krisis tetapi juga memastikan aliran tunai masuk kepada perkara yang produktif.

 

Catatan ini sebenarnya akan bertindak sebagai kayu ukur cara kita membuat keputusan berbelanja atas dasar kehendak atau keperluan. Musim PKP ini menampakkan naiknya aliran tunai dalam platform jualan online seperti Shopee dan Lazada terutamanya pada tarikh jualan tertentu (sebelum ini 7.7 dan yang hampir adalah 8.8)

 

Saya selalu sebut pada sahabat-sahabat saya jika kita dipertemukan iklan jualan Telefon Pintar RM700 dengan diskaun 30%, kita bukan sebenarnya jimat RM 240 tetapi sebaliknya berbelanja RM 490. Ini berbeza jika sebenarnya kita memang sudah dalam proses mencari telefon baru dalam keadaan yang lama sudah uzur.

 

Contoh ini memberi ilustrasi bahawa dengan catatan yang dibuat kita akan lebih disiplin dalam mencegah diri dari berbelanja pada perkara yang bersifat kehendak dan memindahkan perbelanjaan tersebut kepada sesuatu yang lebih bermanfaat/ keperluan masa hadapan.

 
 

2) Masak Di Rumah

Perkara kedua ini mungkin bagi sebahagian merasakan tidak praktikal jika kedua suami isteri yang bekerja. Jika sebelum PKP alternatif yang ada adalah makan di kedai makan atau dalam PKP sekarang dengan adanya kemudahan platform penghantaran makanan seperti Grabfood dan Foodpanda.

 

Antara sebab utama kita perlu mengurangkan perbelanjaan makanan di luar adalah kita sememangnya akan mencari makanan dalam keadaan lapar, dan apa kesannya pada perbelanjaan? 

 

Secara konvensional, dalam bulan Ramadan secara automatiknya mata kita akan menjadi rambang untuk memilih makanan lebih dari sepatutnya jika kita mengunjungi bazar. Situasi ini menjelaskan juga bagaimana cara pembelian online sekarang yang mana jika dibandingkan kuantiti makanan yang dibeli atau dimasak juga pasti ditemui perbezaan.

 

Sahabat yang saya kenal seorang yang berkemampuan pun bersetuju dengan pandangan ini, bagi beliau asas dalam makanan adalah karbohidrat, protein, dan fiber. Beliau juga kadang berjimat dalam pemilihan protein, kerana selain ayam atau daging beliau akan memilih tempe atau tauhu.

 

3) Berhati-hati Dengan Penggunaan Kad Debit

Prinsip berkaitan penggunaan Kad Kredit saya sudah sentuh dalam hantaran yang sebelum ini ; (3 ‘Rule of Thumb’ Setiap Kali Gaji Masuk), kali ini saya nak sentuh pula berkaitan Kad Debit ini.

 

Penggunaan kad debit memudahkan ramai pengguna terutama dalam membuat transaksi di tempat-tempat utama yang menyediakan perkhidmatan mesin debit di kaunter pembayaran. Ini adalah satu manfaat dalam mengurangkan kesesakan beratur di kaunter ATM di pusat-pusat membeli belah atau stesen minyak.

 

Namun, kad debit jika tidak difahami asas dalam penggunaannya sebenarnya boleh makan diri sendiri. Dua prinsip utama dalam penggunaannya adalah; (1) digunakan setelah diasingkan perbelanjaan dan simpanan (pindah ke akaun lain) (2) digunakan hanya pada perbelanjaan yang dicatat pada bulan tersebut.

 

Apabila ‘rule’ ini diikuti dengan penuh disiplin, saya pasti anda bukan sudah sekadar menjawab bahkan menghalang berlakunya misteri kehilangan makhluk yang satu ini. Kedai Eco antara tempat terkenal bagaimana kad debit ini boleh disalahguna, dengan tanggapan satu barang hanya RM 2.10, tanpa sedar jumlah mungkin menjadi RM 50+.

 

4) Ajak Pasangan Dalam Penyediaan Bajet Kewangan 

Perkara ini selain mengeratkan hubungan antara suami dan isteri juga berperanan dalam meletakkan keduanya mempunyai aspirasi dan matlamat kewangan yang sama. Secara tak langsung, pemikiran dan gaya perbelanjaan anda atau pasangan dapat dibentuk sebagai habit kepada semua ahli keluarga (anak-anak secara tak langsung)

 

Dengan ‘habit’ begini sebenarnya menimbulkan kesedaran dalam setiap ahli keluarga pada setiap kali membuat perbelanjaan (sesiapa sahaja dalam keluarga), sekiranya salah seorang menginginkan sesuatu yang bersifat kehendak, disinilah pasangan dapat sama-sama berbincang dan jika keputusan yang dibuat untuk membelinya pasti disusuli dengan tindakan yang jelas.

 

Antara tindakan yang baik untuk mendapatkan barang kehendak adalah dengan membuat tabung simpanan khas; contohnya isteri menginginkan ‘ Steam Iron’ yang berharga RM1000 maka suami dan isteri boleh membuat simpanan khas RM100 untuk setiap bulan, dan selepas 10 bulan mereka pasti mampu membelinya.

 

5) Simpan Sebelum Belanja 

Perkara kelima dan terakhir inilah sebenarnya ibu kepada semua yang saya sebutkan sebelum ini. Cara tradisional sebahagian dalam menguruskan pendapatan adalah memulakan dengan perbelanjaan dan diakhirkan dengan simpanan.

 

Keadaan tersebut menyebabkan terdapat beberapa bulan yang simpanan menjadi kosong kerana perbelanjaan yang tidak menentu. Ini adalah keadaan yang mendedahkan risiko yang besar apabila berlaku sesuatu krisis kewangan.

 

Krisis secara umum akan menyebabkan kita mula mengorek tabung-tabung simpanan, seperti apa yang sedang berlaku hari ini pandemik yang menyebabkan rakyat hanya bergantung pada simpanan untuk survival kehidupan.

 

Keadaan ini sememangnya boleh dielakkan jika kita sudah bersedia dengan simpanan sekurang-kurangnya untuk pendapatan 3 bulan, bermakna kita memiliki 3 bulan untuk mencari alternatif baru jika pendapatan yang sedia ada terjejas.

Nak tahu apakah 21 tips dalam pelaburan hartanah? klik sini segera untuk dapatkan buku Forensik Kewangan: https://forensikwang.com