Kebebasan Kewangan Bermula Dari Minda

Dari pengamatan saya, dari lebih 1000 kes masalah kewangan yang pernah saya tanggani sepanjang lebih 10 tahun ini, saya dapati lebih separuh tidak mempunyai masalah kewangan, ianya lebih menjerumus kepada masalah hati, sikap dan perasaan yang kebanyakannya merupakan masalah individu dan keluarga yang mana penyebab utama adalah kurangnya didikan dalam ilmu mengurus diri dan keluarga.

Rata-rata kes-kes seumpama ini dapat diselesaikan kurang dari 30 minit. Ironiknya, biarpun penyelesaian dapat dicapai dengan cepat dan pantas, tindakan atau pelaksanaan penyelesaian sering kali terbantut atau tidak berjaya dilaksanakan kerana kurangnya semangat dan jati diri individu terbabit dan ditambah pula dengan jiwa yang tidak tenteram , minda yang kusut serta sikap cepat berputus asa.

Walaubagaimanapun saya anggap semua itu hanyalah merupakan alasan orang malas yang tidak mahu berusaha kearah kebaikan. Terutama mereka yang menginginkan penyelesaian ala mee segera.

Untuk memiliki kebebasan kewangan dan bebas dari hutang kita perlu melakukan beberapa persediaan.

Anggaplah ianya seperti satu perlumbaan marathon dan bukannya satu larian pecut.

Kita juga perlu melakukan latihan setiap hari sebagaimana para atlit untuk membina otot yang kuat. Dalam perancangan kewangan, latihan bermaksud kebiasaan atau “habit” untuk menjadikan kita lebih berdisiplin didalam mengurus kewangan kita, membina otot yang kuat pula adalah wang yang dapat dijimatkan serta simpanan yang semakin banyak.

Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana seseorang itu harus bermula? Apakah langkah dan kaedah yang boleh diambil untuk membebaskan diri dari hutang dan mula hidup dengan lebih makmur, aman, tenteram dan bahagia, caranya amat mudah?

Tidak kira siapa pun anda, anda pasti dapat melakukannya.

 

Kenali Diri Sendiri

Semuanya bermula dengan minda anda.

Kenalilah diri anda.

Ini adalah merupakan perkara pertama yang anda harus lakukan. Siapa lagi yang mengenali diri anda jika bukan anda sendiri kan?

Senaraikan sifat-sifat diri anda yang anda ketahui. Jika ragu-ragu, silalah bertanya kepada sahabat handai serta rakan taulan berkenaaan dengan sifat yang ada pada diri anda.

Buatlah senarai dengan membahagikannya kepada dua bahagian.

Bahagian pertama adalah senarai sifat baik anda dan bahagian kedua adalah sifat buruk anda. Kenapa senarai sifat ini penting?

Dengan mengetahui diri serta sifat yang ada pada diri anda, ianya akan mempengaruhi gaya pengurusan kewangan anda.

Misalnya, jika anda seorang pemarah, maka anda juga merupakan seorang yang emotional dan menurut perasaan didalam membuat keputusan kewangan.

Jika anda seorang yang baik hati dan lemah lembut, anda juga akan mengambil sikap acuh tak acuh, mengambil mudah dan lebih kurang apabila menguruskan kewangan anda.

Sebagai contoh, jika anda seorang yang baik hati, orang akan mengambil kesempatan keatas diri anda, daripada menjadi penjamin hinggalah kepada memberikan pinjaman kepada orang lain, anda akan merasa terperangkap dengan keadaan. Kalau tak jadi penjamin, kawan atau keluarga sendiri akan mencemuh anda.

Akan tetapi ketika anda menghadapi masalah kewangan tiada siapa yang sudi membantu anda biarpun kawan atau keluarga sendiri. Tiada siapa yang boleh anda harapkan selain dari diri anda sendiri.

Ketahuilah sifat-sifat diri anda. Jika terdapat kekurangan maka perbaikilah. Dalam merancang kewangan, anda harus mempunyai sifat ingin tahu, teliti, cermat dan berhati-hati, jangan emosi dan jangan pula terikut-ikut dengan trend atau keadaan sekeliling anda.

Jangan jadi pak turut dan jangan pula terlalu taksub terhadap sesuatu perkara sehingga anda tidak mendengar, melihat dan meneliti perkara lain disekeliling anda.

Ketahuilah bahawa diri anda adalah perkara nombor satu atau keutamaan sebelum anda memikirkan perihal orang lain.

Anda seharusnya mengutamakan diri anda terlebih dahulu sebelum anda berfikir tentang orang lain.

 

Kehendak , Keperluan dan Kemampuan.

Ketahuilah perbezaan antara kehendak, keperluan dan kemampuan (3K).

Utamakan keperluan anda dalam membuat sebarang keputusan kewangan yang baik. Buatlah segitiga piramid seperti gambarajah dibawah.

Dalam membuat keputusan kewangan, pastikan apa jua perkara yang ingin anda lakukan mestilah merupakan satu keperluan bagi anda dan bukannya berdasarkan kehendak atau kemampuan.

Ada perkara yang ingin kita lakukan hanyalah merupakan kehendak kita, biarpun kita mampu ianya tidak semestinya perlu untuk kita dan mungkin hanya akan bertukar menjadi satu pembaziran kelak.

Pastikan perkara yang ingin kita lakukan tersebut memberi pulangan kepada diri kita.

Jangan jadikan orang lain sebagai acuan. Lihatlah keperluan diri kita sendiri dan bukannya orang lain.

Sebelum ini saya sering memperkatakan bahawa dalam merancang kewangan, kita tidak boleh beremosi kerana emosi akan mempengaruhi keputusan kita kelak dan biasanya keputusan yang beremosi akan meyusahkan kita kemudian hari.

Sebagai contoh, ada diantara yang merancang kewangan untuk mendapatkan sebuah kereta mewah. Pada saya apa yang diperlukan hanyalah sebuah pengangkutan, sama ada kereta murah atau mewah ianya hanyalah sebuah kenderaan untuk pengangkutan.

Yang lebih penting adalah keperluan pengangkutan kita bukannya sebuah kereta mewah.

Ada yang mengatakan kepada saya apalah gunanya hidup jika ketika kita mampu kita tidak merasai nikmat hidup seperti memiliki sebuah kereta mewah.

Bagi pendapat saya, saya hanya akan merasai kereta mewah jika saya boleh memilikinya secara percuma atau bukan dari duit penat lelah saya ataupun cukup hanya menyewanya jika saya benar-benar ingin merasainya.

Saya tidak perlu memilikinya hanya kerana saya beremosi untuk merasainya. Bagi saya jika sebelum memiliki kereta mewah saya mampu untuk menyimpan RM2000 sebulan dan setelah memiliki sebuah kereta mewah saya hanya mampu menyimpan RM500 sebulan, itu adalah satu pembaziran dan satu perbuatan bodoh hanya kerana kita tidak boleh menahan nafsu dan terlalu beremosi.

Tiada yang suka dipanngil bodoh, namum itulah hakikat sebenarnya. Hanya kita tidak mahu mengakuinya.

 

Melabur Untuk Diri Sendiri

Ilmu yang membezakan antara seorang manusia dengan manusia yang lain, lebih tinggi ilmu seseorang maka lebih tinggilah darjatnya,

Oleh itu perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh seseorang adalah untuk melabur dalam dirinya dengan meningkatkan ilmu yang ada pada dirinya.

Saya mengetahui tentang kewangan bukan secara kebetulan. Saya mencari ilmu dan bukan sahaja mendalaminya malah mempraktikkan.

Dalam “Law of Attraction” apa yang anda rasa, bau, ingat, sentuh dan percaya akan menjadi sebahagian dari diri anda dan anda mempunyai kekuatan untuk merealisasikannya.

Pernahkah anda mengalami peristiwa seperti ini?

Mungkin satu masa anda mengingati suatu perkara ingin anda hajati atau miliki. Sebagai contoh kereta, rumah, barang kemas dan sebagainya, lebih lama dan lebih banyak masa anda menumpukan perhatian terhadapat barang atau perkara yang anda hajati tersebut lebih kerap ianya sering muncul dihadapan anda.

Misalnya, jika anda ingin membeli sebuah kereta baru berjenama X, lebih kerapa anda berfikir tentangnya, maka lebih kerap anda akan melihat kereta jenama X tersebut dihadapan anda dijalan raya.

Ini dikenali sebagai “Law of Attraction”, begitu jugalah dengan perhubungan, kekayaan, kebahagian dan sebagainya dihubungkaitkan dengan fenomena.

Semuanya bermula didalam minda anda. Jika anda ingin kaya misalnya, anda harus menjadi kaya didalam minda anda dan yakin bahawa anda akan menjadi kaya suatu hari nanti.

Selebihnya hanyalah ilmu , usaha dan masa. Orang kaya bukannya orang bijak atau genius. Mereka tahu bahawa mereka boleh mengawal beberapa perkara didalam hidup ini.

Orang kaya tahu mereka boleh mengawal fikiran dan minda mereka atau perkara yang mereka fikir, perkara yang mereka lihat dan langkah yang mereka ambil. Ketiga-tiga perkara ini boleh dikawal oleh kita.

Apa yang difikirkan akan dapat di luahkan melalui tindakan, mereka yang berfikiran cetek hanya akan menghasilkan tindakan cetek.

Sebagai contoh, mereka yang berfikiran RM10 hanya akan menghasilkan RM10. Manakala mereka yang berfikiran RM1 juta akan menghasilkan RM1 Juta Ringgit.

Semuanya bermula dengan minda kita, Orang kaya mempunyai 7 amalan yang membuatkan mereka menjadi kaya.

  1. Mereka mempunyai keazaman dan semangat yang kuat

  2. Mereka percaya bahawa mereka patut menjadi kaya dan menerima kekayaan.

  3. Orang kaya merasa teruja dengan kekayaan yang mereka terima dan mempunyai azam yg kuat untuk menambah kekayaan mereka

  4. Mereka mengambil tindakan dan tidak hanya berpeluk tubuh

  5. Mereka belajar dari pengalaman mereka dan tidak mengulangi kesilapan lampau

  6. Mereka juga tekun dalam mengejar impian mereka dan mengambil risiko yang boleh diterima mereka

  7. Mereka melabur dalam diri mereka, aliran tunai, pendapatan dan menggunakan masa, wang dan kemahiran orang lain untuk kesenangan mereka.

Percuma Lebih Baik Dari Membayar

Dari dulu saya mempunyai sikap “Free Things Is The Best Thing In Life”, saya sering memberitahu orang ramai bahawa mengapa perlu membayar jika kita boleh mendapatkannya secara percuma.

Ada ramai yang ingin mengetahui rahsia bagaimana saya mengurus kewangan saya.

Ada terdapat banyak kaedah yang telah ditulis dan diceritakan di Internet secara percuma atau bercakap dengan orang yang lebih berpengalaman misalnya,

Namum telah menjadi kebiasaan kepada ramai daripada kita yang malas untuk mencari ilmu biarpun ilmu itu boleh diperolehi secara percuma.

Saya suka membaca buku dan berdiskusi bersama teman-teman kerana acap kali kita boleh mempelajari perkara baru hanya dengan berdiskusi bersama teman-teman atau bertukar-tukar pendapat.

Apa yang anda perlukan hanyalah masa dan tempat dan itu semua boleh didapati secara percuma. Apa yang lebih penting adalah perubahan sikap, tahu apa yang anda mahukan didalam hidup dan berusaha kearahnya.

Semuanya bermula didalam minda anda. Jika mahu jadi kaya atau bebas dari hutang misalnya, anda juga perlu membebaskan minda anda terlebih dahulu dari pemikiran jumut dan sempit, carilah ilmu, bergurulah dengan mereka yang berpengalaman dan berilmu, carilah guru sebanyak yang boleh, belajarlah dari mereka dan jangan taksub hanya pada seorang guru sahaja.

Ada banyak guru diluar sana yang boleh kita belajar dari mereka, luaskan pengalaman dan pengetahuan anda.

Berubahlah kerana perubahan itu merupakan satu tindakan yang amat mudah dan semuanya bermula didalam minda anda.

Percaya dan ingatlah kata-kata hikmat ini

“Saya Mempunyai Wang Yang Melebihi Keperluan Saya”,

berusaha dan tawakallah dan Insyaallah kata-kata serta keyakinan tersebut akan menjadi kenyataan.